102 penduduk Baling dipindahkan akibat banjir kilat

102 penduduk Baling dipindahkan akibat banjir kilat

PENDUDUK dipindahkan menggunakan bot oleh APM setelah rumah mereka dinaiki air akibat banjir kilat di Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seramai 102 mangsa daripada 33 keluarga di Kampung Iboi dan Kampung Padang Empang di sini dipindahkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS), malam tadi.

Ia berikutan kediaman mereka dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat berterusan sejak pukul 6 petang semalam.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd. Zain berkata, PPS Masjid Islahiyah Tawar dibuka pukul 11 malam bagi menempatkan 91 mangsa daripada 31 keluarga.

Manakala, PPS di Masjid Binjul Luar, Tawar pula dibuka kira-kira sejam kemudian setelah 11 mangsa daripada dua keluarga diminta mengosongkan rumah masing-masing.

Katanya, pemindahan itu membabitkan seramai 23 lelaki dewasa, wanita dewasa (34), kanak-kanak lelaki (15), kanak-kanak perempuan (14), warga emas (empat) dan seorang bayi lelaki.

“Hujan lebat yang melanda petang semalam menyebabkan air sungai melimpah ke tebing di Kampung Padang Empang dan Kampung Iboi.

“Hasil pemantauan di lapangan mendapati berlakunya banjir kilat di beberapa buah kampung dan air sungai naik terlalu cepat yang mengakibatkan beberapa rumah sudah dimasuki air.

“Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku. Keadaan cuaca di Baling ketika ini mendung,” katanya ketika dihubungi hari ini

Muhammad Suhaimi berkata, berdasarkan ramalan paras air sungai yang dikeluarkan oleh Jabatan Perairan dan Saliran (JPS), stesen Sungai Ketil di Kampung Kuala Pegang, Pulai menunjukkan melebihi paras bahaya sebanyak 36.19 meter setakat pukul 8 malam. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN