KULAI : Seorang peniaga warung sanggup menunggu sejak pukul 8.30 pagi di luar pasar raya di Bandar Putra, di sini bagi mendapatkan beras import yang dijual pada harga yang lebih rendah pada Program Rahmah.
Mohd. Aril Abdullah, 38, berkata, usaha itu amat berbaloi apabila dapat membeli empat kampit beras 5 kilogram (kg) pada harga RM14.99 bagi setiap kampit.
“Pada ketika saya sampai di pekarangan pasar raya itu, sudah ada ramai yang menunggu masa pasar raya dibuka. Sebaik sahaja ia dibuka, kami terus mengambil beras yang dihadkan 10 kg untuk seorang.
“Memandangkan beras putih tempatan (BPT) sukar ditemukan di pasaran, ini adalah langkah yang baik oleh pihak kerajaan. Harga yang diletakkan juga berbaloi iaitu RM14.99 bagi setiap kampit berbanding harga sebenar RM20.89,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Target IOI Mall, di sini hari ini.
Katanya, dia membelanjakan sehingga lebih RM500 bagi memberi barangan keperluan lain seperti bawang, cili kering, minyak masak peket bersubsidi, sekotak susu pekat dan sebagainya.
“Walaupun harga beras sudah meningkat dan beras putih tempatan sukar diperoleh, saya tidak menaikkan harga jualan dan masih jual nasi putih pada harga RM2 sepinggan, kalau pelanggan ambil nasi lebih pun saya tak naikkan harga,” ujarnya.
Hasil tinjauan di pasar raya itu mendapati sebanyak satu tan (1000 kg) beras import yang dijual dalam Jualan Rahmah itu habis dijual dalam masa tidak sampai sejam.
Difahamkan terdapat 13 lokasi di seluruh negeri ini menjalankan Jualan Rahmah termasuk beras import dijual pada hari ini dan esok.
Semalam, Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali dilaporkan berkata, pihaknya akan mengadakan jualan beras import di setiap program Jualan Rahmah di seluruh negara, bermula hari ini.
Beliau berkata, keputusan mengadakan jualan beras import pada harga Rahmah di Jualan Rahmah dilakukan bagi mengelakkan mengganggu bekalan beras tempatan di pasaran.
“Jadi biar kita ambil beras import tapi kita jual pada harga Rahmah, kita tidak mahu ganggu atau bertambah gangguan bekalan beras tempatan di sektor runcit,” katanya.
Sementara itu, seorang pembeli, Hidayu Azman, 34, berkata, jualan ini dapat menjimatkan perbelanjaan dapur, malah harga yang ditawarkan jauh lebih murah.
“Pembelian yang dihadkan kepada hanya 10kg bagi satu keluarga membolehkan lebih ramai individu mendapat manfaatnya, ini pun ada juga yang tak sempat untuk beli.
“Memang terasa naik mendadak harga beras, bulan lepas sebelum harga beras naik, kami beli beras 10 kilogram pada harga RM28. Sekarang kalau lihat harga ada yang mencecah hampir RM50,” katanya. -UTUSAN