Wanita tertipu kali kedua sindiket 'phone scam' - Utusan Malaysia

Wanita tertipu kali kedua sindiket ‘phone scam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang wanita yang pernah menjadi mangsa penipuan phone scam sehingga kerugian sebanyak RM30,000 tiga tahun lalu, sekali lagi terjerat dengan helah sama.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, wanita berusia 64 tahun itu ditipu kali pertama pada September 2020 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan phone scam.

Katanya, yang terbaharu mangsa ditipu pada 1 Ogos lalu selepas menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘ASP Firdaus’.

“Lelaki yang mendakwa sebagai pegawai polis itu mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM1.5 juta.

“Bagi tujuan siasatan, panggilan telefon itu disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di mana mangsa telah bercakap dengan seorang lelaki lain yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Mohktar.

“Semasa soal siasat dilakukan, mangsa telah menafikan yang dia terlibat dalam sebarang kegiatan menyalahi undang-undang,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa bagaimanapun telah dihubungi keesokkan harinya dan diarahkan memindahkan keseluruhan wang miliknya ke dalam dua akaun berbeza berjumlah RM98,000.

Katanya, wang milik mangsa itu merupakan wang simpanannya di Tabung Haji dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

“Mangsa telah dimaklumkan bahawa pindahan wang itu bagi tujuan siasatan polis dan ia akan dikembalikan setelah semua siasatan selesai dijalankan.

“Bagaimanapun, pada Ahad lalu, mangsa sekali lagi telah dihubungi oleh ASP Firdaus yang memintanya membuat bayaran sebanyak RM15,000 untuk proses mendapatkan kembali wang sebanyak RM98,000,” katanya.

Tambah beliau, mangsa yang telah kehabisan wang mulai menyedari dia ditipu, membuat laporan polis berkaitan penipuan itu kelmarin.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN