MUKADIMAH
TEMPOH berkempen sudah memasuki minggu kedua ketika Perikatan Nasional (PN) asyik bercakap gelombang yang didakwa terus memihak mereka manakala Pakatan Harapan (PH) pula tidak kendur dengan pendirian mereka mampu meraih sokongan rakyat.
Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. RAFIE AZIMI bertemu Pengerusi PH Kedah, DATUK MAHFUZ OMAR bagi mengulas perkembangan semasa di Kedah termasuk pandangannya mengenai pendekatan kempen pihak lawan melalui ceramah yang dianggap keterlaluan kerana menggunakan perkataan yang kasar.
UTUSAN: Selepas seminggu kempen, bagaimana Datuk melihat situasi semasa?
MAHFUZ OMAR: Seperti biasa, perjalanan kempen bagi seminggu pertama memang agak perlahan atau boleh dikatakan masing-masing masih memanaskan badan. Namun maklum balas positif saya terima iaitu dalam kalangan pengundi UMNO dan PH yang merajuk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah ada tanda untuk kembali menyokong dan mengundi kedua-dua parti itu dalam PRN kali ini.
Mereka yang merajuk ini kita boleh bahagikan kepada dua dengan golongan pertama mengundi Perikatan Nasional (PN) manakala yang kedua tak keluar langsung. Tetapi ketika ini mereka sedar kesilapan itu dan datang semula kepada parti untuk bergiat aktif dalam gerak kerja parti setelah menyaksikan PH dan Barisan Nasional (BN) agresif mendekati cawangan parti.
Sebelum ini Datuk kata 16 kerusi sudah dalam ‘tangan’, bagaimana sekarang?
Sehingga kini kita masih yakin yang 16 kerusi itu mampu kita peroleh malah saya sudah maklumkan kepada kawan-kawan dalam PH serta BN bahawa kita hanya perlu tiga lagi kerusi untuk merampas kerajaan negeri. Kalau dapat lebih, itu bonus.
Momentum ke arah itu memang ada lebih-lebih lagi ketika ini isu melibatkan pengurusan dan integriti kerajaan negeri berhubung kecurian unsur nadir bumi (REE) kian diperkatakan. Orang sudah mula lihat keperluan untuk menukar kerajaan.
Tidak terkecuali dalam pegawai-pegawai kerajaan yang kini berasa susah mahu buat kerja. Dengan sikap kerajaan negeri sebelum ini yang berbeza dan ‘bertembung’ hari-hari dengan Kerajaan Persekutuan, sukar untuk mereka laksanakan kerja hingga akhirnya rakyat menjadi mangsa.
Komen terhadap pihak guna nama Islam tetapi mencaci dan guna perkataan tidak sepatutnya ketika berkempen?
Perbuatan itu tentu sekali tidak wajar dilakukan kerana merosakkan nama baik Islam. Bukan saja melibatkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor malah kenyataan-kenyataan keras dikeluarkan Tan Sri Abdul Hadi Awang juga hanya menyebabkan masyarakat terutamanya bukan Islam mempersoalkan sama ada itukah acuan Islam yang mahu dibawa.
Tindakan sedemikian hanya merosakkan nama baik dan menconteng arang kepada Islam. Sebagai contoh, adakah wajar untuk seseorang yang mengaku mewakili parti Islam mengeluarkan perkataan ‘kepala bapak’ dan kemudiannya mentafsirkan itu sebagai satu pujian?
Saya tak fikir ada mana-mana ahli bahasa boleh bersetuju perkataan ‘kepala bapak’ merupakan satu pujian. Seolah-olah kita mencemuh kemuliaan seorang ayah dan wajarkah orang begini diangkat sebagai ikon kepada anak dan cucu, saya sendiri tak rela untuk anak dan cucu saya bercakap begitu.
Tular video seorang pemimpin politik hulur tangan untuk bersalam tetapi tidak diendahkan. Apakah ia ada kena-mengena dengan sikap kepimpinan parti?
Sudah semestinya! Apabila politik kebencian itu ditaman kerana perbezaan ideologi politik, maka akhirnya pengikut di bawah ini akan terima membuta tuli tanpa ada huraian tepat lalu mentafsir mengikut emosi sendiri.
Tak bolehlah hanya kerana berbeza parti, kita bawa politik kebencian hingga hilang silaturahim. Masyarakat bukan Islam akan persoalkan tak akanlah sampai begini politik Islam sampai mahu bersalam pun tak boleh.
Pandangan Datuk mengenai sokongan orang Melayu di Kedah?
Alhamdulillah, saya lihat sokongan orang Melayu di Kedah sudah kembali kepada kerajaan Perpaduan. Boleh dikatakan PN amat bergantung kepada gelombang PRU-15 dan mereka terlalu yakin gabungan itu akan memperoleh keputusan sama seperti November lalu.
Namun ada sesuatu yang mereka tidak sedar iaitu perpecahan sudah mula berlaku dalam kalangan mereka. Usahkan gelombang, malah kalau tsunami sekali pun, sampai masanya akan surut dan kini kita boleh katakan gelombang itu kian surut. Boleh dikatakan ubat bius mereka sudah habis dan orang sudah mula sedar, siapa yang patut diundi dalam PRN kali ini. – UTUSAN










