JERANTUT: Seorang peneroka di Felda Kota Gelanggi Dua di sini, Rosman Marman, 73, memilih cara tersendiri yang lebih kreatif untuk menghiaskan kediaman dan motosikal Vespa klasiknya dengan pemasangan Jalur Gemilang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rosman berkata, dia juga menjahit busana berasaskan Jalur Gemilang untuk dipakai setiap kali keluar berbelanja di kedai dan bandar ini.
“Sebenarnya, seperti kelaziman sebelum ini, saya tidak sabar menunggu ketibaan bulan Ogos setiap tahun untuk mengibarkan Jalur Gemilang di hadapan rumah dan menunggang motosikal Vespa antik. Tahun ini, saya berbelanja lebih RM200 untuk menyediakan bendera dan menjahit busana merdeka.
“Setiap bulan Ogos, saya akan menghiaskan Jalur Gemilang di bahagian pemegang dan ‘mudguard’ Vespa klasik ini lalu berarak di kawasan blok Felda ini bersama isteri, Siti Mutrika Mohd. Nor, 69, sambil mengibarkan bendera bersaiz besar,” katanya di sini semalam.
Rosman berkata, Vespa antik lama yang berusia 53 tahun merupakan kenderaan disayanginya dan kerap ditunggang untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan memeriahkan sambutan 31 Ogos setiap tahun.
Katanya, sebelum ancaman penularan wabak Covid-19, dia akan menunggang Vespanya yang dihiasi Jalur Gemilang ke bandar Jerantut atau Bandar Pusat Jengka untuk menyertai acara sambutan hari kemerdekaan di situ.
“Mulai tahun ini, oleh kerana kesihatan tidak mengizinkan, saya cuma berarak mengibarkan Jalur Gemilang di kawasan Felda ini sambil menunggang Vespa bersama isteri pada waktu lapang sebelah petang dan menanti tiba perarakan bendera 31 Ogos ini,” katanya.
Bercerita lanjut, Wak Rosman berkata, Vespa ‘Piaggio’ keluaran 1968 yang dibeli daripada seorang rakan dengan harga RM550 pada bulan Mei 1978 masih elok enjinnya dan pernah ditunggang sampai ke Perlis dan pulang semula ke Pahang dengan selamat sempena Program Kembara anjuran Persatuan Vespa Bandar Pusat Jengka.
“Saya sayang Vespa sama seperti cinta dan setia kepada negara dan tidak mahu ‘digadaikan’ walaupun ia ditawarkan dengan harga yang tinggi. Vespa ini cukup bermakna dan nostalgia bagi saya menyambut ulang tahun Kemerdekaan setiap kali 31 Ogos,” ujarnya.
Beliau mempunyai enam anak berusia 32 hingga 45 tahun, juga datuk kepada 12 cucu dan dua cicit berharap kemeriahan sambutan kemerdekaan dan teriakan ‘Merdeka’ terus berkumandang khususnya dalam kalangan orang muda.
Dia yang sangat menjiwai Pop Yeah-Yeah serta minat dengan biduan A. Ramli dan Datuk Jeffrydin kerap berkaraoke serta undangan di majlis perkahwinan menambah, kemerdekaan cukup signifikan apabila menyaksikan perubahan kehidupannya sewaktu usia muda yang susah tinggal di kampung beroleh keselesaan apabila menyertai tanah rancangan Felda tanaman sawit di situ sejak 55 tahun lalu.
“Sebab itulah, dengan apa cara sekalipun kita mesti sambut dan hayati kemerdekaan khususnya generasi hari ini wajar taat serta menyulam patriotisme dan kesetiaan di samping bersyukur apabila beroleh kesejahteraan hasil perjuangan negarawan dahulu,” ujarnya. – UTUSAN