Tolak cadangan bayaran ansuran, Aishah nekad teruskan tindakan lelong - Utusan Malaysia

Tolak cadangan bayaran ansuran, Aishah nekad teruskan tindakan lelong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Datuk Aishah bakal meneruskan tindakan melelong lot tanah kemenangannya ketika menjuarai Gegar Vaganza (GV) 4 selepas kegagalan penaja, Datuk Seri Amir Mohd Isa membayar cadangan pembayaran secara ansuran oleh mahkamah.

Aishah berkata, dia menerima cadangan pelan pembayaran baharu buat kali ketiga daripada pihak penaja sebagai penyelesaian bayaran jumlah asal harga tanah yang dijanjikan, RM300,0000.

Namun, kegagalan pihak penaja melangsaikan pembayaran sebanyak dua kali sebelum ini membuatkan dia nekad untuk meneruskan tindakan lelongan lot tanah di Cyberjaya tersebut.

“Selepas saya mengemukakan writ penyataan, pihak penaja ada memberi cadangan untuk pelan pembayaran baharu secara ansuran lima kali. Tetapi ini merupakan cadangan kali ketiga.

“Sebelum ini pun dia tidak membayar mengikut jadual yang telah ditetapkan mahkamah. Jadi saya menolak cadangan tersebut dan nekad untuk melelong lot tanah berkenaan,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.

Aishah berkata demikian usai sidang media pengumuman peserta Gegar Vaganza musim baharu yang menyaksikan 10 pemenang tempat pertama setiap musim bakal bersaing semula merebut kejuaraan All Stars.

Sementara itu, penyanyi Janji Manismu ini menambah, usahawan tersebut sudah diisytiharkan muflis dan dia kini menuntut pembayaran daripada isteri serta anak usahawan tersebut yang merupakan rakan perniagaan bersama.

“Ketika perbicaraan di mahkamah September lalu, baru saya dan pihak peguam termasuk yang mewakilinya tahu dia sudah muflis. Jadi proses tersebut buang masa sahaja.

“Malah dia juga sudah beberapa kali menukar peguam. Jadi kami teruskan tuntutan kepada dua orang rakan perniagaan yang juga merupakan isteri dan anaknya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aishah berkata, dia juga sedar tindakannya itu menerima kecaman warganet selepas pihak penaja itu ketika ini dikhabarkan sedang diserang angin ahmar.

“Memang orang kecam sebab dia dikhabarkan diserang angin ahmar, tetapi kes ini sudah berlarutan selama enam tahun. Dia baru diserang penyakit itu empat bulan lepas.

“Saya akan teruskan dan usahakan. Sebab itu hak saya. Saya juga sudah sampai tahap ini, takkan nak hentikan?

“Janganlah salahkan orang lain. Ada banyak masa sepanjang enam tahun itu untuk selesaikan masalah ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN