PETALING JAYA: Pengarah, Areel Abu Bakar, tidak menafikan populariti seorang pelakon boleh menjadi pelaris sesebuah naskhah khususnya bagi filem ‘popcorn’.
Areel tidak menolak, ia menjadi formula yang diguna pakai oleh kebanyakan pembikin filem dalam usaha menarik lebih banyak penonton ke panggung.
Namun begitu, pengarah filem Walid itu berasakan sudah sampai masanya untuk naskhah tempatan yang diangkat di festival filem luar negara diterima oleh penonton tanah air.
“Tidak salah jika penonton mahu tengok sesuatu naskhah melihat kepada populariti pelakonnya kerana mereka bayar untuk berhibur.
“Cuma sebagai pengkarya, kita perlu lebih kreatif dan banyak menghasilkan naskhah agar penonton mempunyai lebih banyak pilihan filem.
“Pengalaman saya bersama penonton luar negara khususnya di festival filem, mereka lebih mengambil berat tentang isu yang dibawakan serta kelainan yang ditawarkan di dalam karya kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambah Areel lagi, penonton luar negara lebih banyak memberi tumpuan untuk mengupas subjek yang kurang popular sekali gus memerlukan penonton untuk berfikir.
“Sebagai seorang pembikin filem, saya tidak menghasilkan karya semata-mata demi mengikut trend masyarakat.
“Saya memberi tumpuan kepada isi kandungan filem dan apa yang ingin disampaikan di dalam naskhah untuk masyarakat berfikir,” tambahnya.
Terkini, filem Walid arahan Areel Abu Bakar dijemput untuk ditayangkan di Cinema Village, New York pada 28 Julai hingga 3 Ogos lalu dan Laemmle Glendale, Los Angeles pada 11 hingga 17 Ogos lalu.
Filem sebelumnya, Geran pernah menerima anugerah ‘Daniel A.CraH Award’ di Festival Filem Asia New York (NYAFF) Ke-19 pada tahun 2020.