MUKADIMAH
BULAN ini, genap setahun sejak hampir 700 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua, dilaporkan keluar parti dan menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diwakili individu bernama AZHAR HAMBALI. Siapa tahu, beliau menyertai semula Bersatu dan menjadi calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor di DUN Dusun Tua. Ketika ditemui Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, beliau menjelaskan sebab kembali dan menyokong PN.
Saudara sudah keluar Bersatu dan sertai Pejuang? Mengapa kembali semula?
Saya sekarang sudah tiada sebarang kaitan dengan Pejuang. Saya akui pernah keluar parti dan menyertai Pejuang tetapi mengambil keputusan berhenti dan keluar daripada Pejuang selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Saya kemudian memperlahan penglibatan dan kerjaya dalam politik. Selepas itu, kembali menganggotai parti Bersatu.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebelum ini menyuarakan bantahan terhadap calon pilihan raya kerana ada yang memilih individu baharu dan bekas ahli Pejuang terus menjadi calon PN-Bersatu.
Sebenarnya tiada isu pun. Ia sama sahaja macam mana orang daripada parti lain kemudian dicalonkan bertanding. Berhubung bantahan seorang pemimpin itu, ia bukan masalah ‘Pejuang atau bukan Pejuang’ tetapi siapa yang layak melawan BN dan calonnya.
Bagaimana perjalanan kempen yang memasuki pusingan kedua?
Alhamdulillah, saya sudah habis berkempen di banyak kawasan terutama kampung. Setakat saya lihat sokongan itu cenderung kepada kami. Namun, cabarannya di kawasan bandar yang majoriti adalah kaum bukan Melayu yang saya belum nampak ke mana arah sokongan mereka.
Bagaimana anda cuba meraih sokongan daripada golongan bukan Melayu ini dan apa tawaran anda?
Saya ada cara tersendiri. Saya berjumpa seorang demi seorang dan akan merayulah. Saya juga mahu tambah baik sistem infrastruktur di sini. Isu kutipan sampah, kesesakan jalan raya, sistem perparitan di kawasan kampung dan banyak lagi.
Mengapa rakyat harus memilih saudara?
Sebenarnya, rakyat mahu calon dalam kalangan anak tempatan Dusun Tua, terutama sekali penduduk kampung. Sampai bila mahu calon daripada luar? Rakyat tidak mahu calon ‘kitar semula’. Ada katakan bahawa hanya saya seorang yang sepadan. – UTUSAN











