Tiada istilah berkongsi suami dengan wanita lain - Nabila Huda - Utusan Malaysia

Tiada istilah berkongsi suami dengan wanita lain – Nabila Huda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kalau sayang dia (isteri pertama), kau tak akan curang di belakang dia pada awalnya.”

Demikian luahan pelakon berkaliber, Nabila Huda yang ‘berang’ dengan tindakan segelintir golongan suami yang menggunakan perkahwinan kedua untuk menutup kecurangan mereka.

Kongsi pelakon Rahsia itu, mengahwini wanita lain sebenarnya satu kecurangan dan tidak seharusnya dijadikan kandungan media sosial seolah-olah menghargai pengorbanan isteri pertama.

“Kalau sudah curang, curang sahajalah. Tak perlu normalisasikan poligami sebagai konten murahan untuk pengaruh orang nak tunjuk bahawa cara tersebut betul.

“Kalau masih lagi ada rasa bernafsu tengok perempuan lain, lebih baik jangan kahwin dulu.

“Berseronoklah dulu sepuas-puasnya. Kalau rasa sudah betul-betul bersedia nak jadi seorang suami setia pada satu-satunya isteri, barulah kahwin,” ujarnya di aplikasi X.

Luah Nabila lagi, lelaki yang berkahwin lebih daripada satu boleh dianggap sebagai individu yang sukar untuk memenuhi janji menjadi suami yang setia kepada isteri.

“Seorang isteri memang akan taat dan jaga maruah suami tetapi sampainya hati selingkuh dengan kesetiaan seorang wanita bernama isteri?

“Kalau dengan isteri yang kau berjanji akan setia hingga mati pun dimungkiri, maknanya sampai ke akhir hayat jugalah dengan kedua, ketiga atau mana-mana perempuan lain.

“Sama juga dengan perempuan yang kononnya tak bersalah dalam situasi itu. Ingatlah, apa yang terjadi akan berbalik semula,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, tiada seorang wanita pun yang sanggup berkongsi kasih suami dengan orang lain dan mengorbankan perasaan sendiri.

“Untuk pengetahuan semua, tiada istilah berkongsi suami dalam kamus hidup kami dengan wanita lain.

“Kalau dia milik kami, selama-lamanya akan begitu. Kami hanya ingin seorang lelaki dan mahu menjadi hanya seorang wanita yang dimilikinya,” ujarnya.

Sebelum ini, tular di media sosial seorang pempengaruh memuat naik video ‘memujuk’ isteri pertama usai solat bersama beberapa sebelum menikahi wanita lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN