Syarikat pemproses makanan rugi RM220,000, 32 telefon bimbit lesap - Utusan Malaysia

Syarikat pemproses makanan rugi RM220,000, 32 telefon bimbit lesap

telefon bimbit
SUSPEK bersama barangan dirampas polis berhubung kes curi dekat sebuah premis syarikat pemproses makanan dekat Pulau Indah, Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sebuah syarikat pemproses makanan dekat Jalan Sungai Pinang, Pulau Indah, di sini mengalami kerugian sebanyak RM220,000 selepas wang tunai untuk pembayaran gaji pekerja serta 32 unit telefon bimbit miliknya dicuri pada minggu lalu.

Kejadian tersebut disedari seorang pekerja berusia 43 tahun yang mendapati wang tunai diasingkan dalam beberapa keping sampul dan disimpan dalam sebuah koital dalam almari lesap bersama telefon bimbit berkenaan sebaik sahaja tiba di pejabat pada 4 Ogos pukul 6 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, sebelum kejadian, pada 3 Ogos pengadu membuat agihan gaji mengikut pekerja dan bercadang untuk membuat penyerahan kepada mereka selepas selesai shif pada keesokannya.

“Pengadu meletakkan sampul-sampul berisi wang tunai di dalam kotak dan di simpan di dalam almari sebelum pulang ke rumahnya. Pada keesokannya kira-kira pukul 6 pagi, selepas pengadu sampai ke pejabatnya mendapati wang tunai tersebut bersama 32 buah telefon bimbit milik syarikat tiada.

“Pengadu kemudian hadir membuat laporan di kaunter aduan Balai Polis Pandamaran pada pukul 8.32 pagi dan bertindak atas maklumat, kelmarin cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menahan pasangan suami isteri dan dua warga asing bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kesemua supek berusia dalam lingkungan 22 hingga 44 tahun dan ketika tangkapan, polis turut merampas wang tunai RM110,680 dan 15 jenis barang kemas beserta resit pembeliannya.

Jelas Hoong Fong, kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga esok selepas mendapat kebenaran daripada Mahkamah Majistret Klang bagi membantu siasatan.

“Semakan mendapati suspek warga tempatan mempunyai tiga rekod jenayah lampau. Pegawai penyiasat dalam proses melengkapkan kertas siasatan dan akan rujuk ke timbalan pendakwa raya dalam tempoh masa terdekat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya