Suspek direman tujuh hari siasat kematian pemandu teksi - Utusan Malaysia

Suspek direman tujuh hari siasat kematian pemandu teksi

ANGGOTA polis sedang memeriksa mayat pemandu teksi yang mati dalam keretanya di Kuala Nerus, Khamis lalu. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Suspek yang dipercayai terbabit dengan kematian seorang pemandu kereta sewa di Kampung Seberang Takir di sini, Khamis lalu direman tujuh hari bermula semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, suspek yang berusia 29 tahun itu kini ditahan sambil diberikan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini selepas ditangkap di lokasi pada waktu kejadian.

Menurutnya, pihak polis juga belum dapat menjalankan siasatan lanjut berhubung kes terbabit ekoran keadaan suspek yang lemah.

“Suspek mengalami kecederaan agak serius iaitu terdapat kesan tusukan tajam yang mengenai tulang belikat sehingga hampir menyentuh paru-paru selain kesan kelaran pada bahu kiri.

“Memandangkan suspek dalam keadaan lemah, pihak polis tidak dapat meneruskan siasatan lanjut berkenaan kes ini dan suspek juga belum disoal siasat.

“Jadi kita belum tahu motif kejadian dan orang ramai diminta tidak membuat spekulasi,” ujarnya ketika meninjau proses mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal di sini, hari ini.

Dalam kejadian kelmarin, pemandu kereta sewa, Mohd. Latif Idris, 51, ditemukan mati di tempat duduk belakang kenderaannya dalam keadaan berlumuran darah akibat kesan luka di bahagian leher.

Pihak polis yang menerima maklumat jam 10.56 malam itu turut menjumpai seorang lelaki tempatan iaitu suspek di kerusi pemandu selain sebilah pisau yang turut dirampas.

Mazli memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya