PETALING JAYA: Penghibur nombor satu Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad bakal ‘beraksi’ semula di pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 16 September depan menerusi teknologi hologram.
‘Kemunculan’ bintang seni itu adalah bersempena siri konsert A Tribute to Sudirman yang yang turut menampilkan gandingan penyanyi hebat, Ernie Zakri, Hazama, Liza Aziz dan pendatang baharu, Arish Mikael.
Pengarah muzik, Ahmad Muriz Che Ros berkata, ‘persembahan’ Sudirman secara hologram pada malam itu akan diiringi Orkestra Filharmonik Petronas (MPO).
“Sebenarnya, idea menampilkan Sudirman menggunakan teknologi hologram adalah salah satu elemen kelainan ingin kami tampilkan sempena meraikan ulang tahun ke-25 DFP.
“Teknologi ini juga bukanlah baru, sudah digunakan dengan meluas di luar negara. Tetapi untuk DFP, ini adalah pertama kali kita perkenalkan. Untuk meraikan jubli perak, kami fikir apa lagi kelainan boleh dibawakan.
“Akhirnya kami memilih teknologi hologram supaya peminat Sudirman dari kalangan generasi muda khususnya dapat menonton sendiri ‘persembahan’ Allahyarham menerusi teknologi replikasi yang akan kami bawakan,” katanya.
Tambah Ahmad Muriz, Sudirman bakal menyanyikan beberapa lagu diringi alunan muzik okerstra MPO dalam konsert yang bakal mencatat sejarah tersendiri tersebut.
“Elemen persembahan dan teknologi hologram tersebut mampu menarik peminat untuk hadir ke konsert tersebut apatah lagi, teknologi yang bakal digunakan cukup canggih kerana kami tidak akan menggunakan video persembahannya yang lama.
“Mereka akan menjana imej baru berdasarkan kajian terhadap video-video lama Allahyarham dan bakal dipancarkan di pentas itu nanti.
“Ppersembahan malam itu dijangka berlangsung selama 90 minit dengan lebih 20 rangkaian lagu. Tetapi berapa buah lagu yang bakal dipersembahkan Sudirman, rahsia,” katanya.
Pembelian tiket boleh dibuat menerusi www.mpo.com.my dan harga tiket bermula daripada RM288 hingga RM668.