Sudahlah berpecah aliran politik, semangat kemerdekaan pun ingin dibezakan - GPMS  - Utusan Malaysia

Sudahlah berpecah aliran politik, semangat kemerdekaan pun ingin dibezakan – GPMS 

'MALAYSIA Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan' diangkat sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023. – GAMBAR HIASAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbezaan parti pemerintah di Pusat mahupun negeri tidak sepatutnya menyentuh semangat patriotisme, apatah lagi tema kemerdekaan dan lambang Hari Kebangsaan.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Muhd. Fazreen Ismadi Fauzi berkata, semua pemimpin negara diingatkan bahawa semangat patriotik perlu diwujudkan berlandaskan negara Malaysia, bukannya berteraskan sosok individu atau ideologi wadah tertentu.

Katanya, GPMS kesal dengan tindakan yang cuba membeza-bezakan semangat kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia sedangkan semua pihak sedang meraikan perayaan yang sama iaitu Hari Kebangsaan.

“GPMS kecewa dengan tindakan pemimpin politik yang tidak pernah puas memecahbelahkan minda rakyat termasuk dengan satu semangat patriotisme rakyat Malaysia.

“Kepada pemimpin politik pula, kita sudah berpecah di banyak aliran. Semasa pilihan raya dipecahkan mengikut politik, sekolah juga kita diasing-asingkan, sehinggakan semangat kemerdekaan pun kita ingin berbeza. Apa lagi yang sepatutnya disatukan?” Soalnya dalam kenyataan.

Beliau merujuk kenyataan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari yang mencadangkan supaya negeri pimpinan PN menggunakan logo dan tema alternatif berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang meniadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang, dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ diangkat sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 yang memiliki reka bentuk logo yang unik dan simbolik dengan ‘tangan yang sedang diangkat, untuk melafazkan ikrar Rukun Negara’.

Kata Muhd. Fazreen, GPMS mengakui kedua-dua logo itu mempunyai signifikan bagi meningkatkan semangat kemerdekaan, cuma memandangkan Kerajaan Persekutuan telah menetapkan tema dan logo, ia harus menjadi simbol rasmi perayaan Hari Kebangsaan.

Kata beliau, jika GPMS diberi pilihan logo, pihaknya mahu meletakkan tanjak sebagai logo bagi tahun ini kerana Yang di-Pertuan Agong telah melalui empat Perdana Menteri dan Seri Paduka telah membuktikan keharmonian, perpaduan dan kesejahteraan adalah keutamaan dan terbela.

“Kami menyeru rakyat Malaysia mula kibarkan bendera Malaysia dan menyemarakkan perasaan cinta kepada negara. Jika pemimpin tidak mampu tonjolkan semangat patriotisme, biarlah kita raikan dengan menunjukkan kesepaduan sebagai rakyat Malaysia demi negara tercinta ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya