PETALING JAYA: Kemerosotan minat dan pencapaian murid dalam subjek Sains dan Matematik dipercayai ada kaitan dengan sistem pendidikan negara yang disifatkan sebagai cacamarba.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, negara kini sudah beralih daripada sistem pendidikan berasaskan peperiksaan kepada sistem aktiviti pembelajaran.
Bagaimanapun katanya, ekosistem yang masih diamalkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) adalah sistem pendidikan berasaskan peperiksaan memandangkan silibus pembelajaran masih berat, banyak dan tidak fleksibel.
Menurutnya, ia menyebabkan beban guru dan murid meningkat dua kali ganda sekali gus mengakibatkan kemerosotan minat terhadap dua subjek penting iaitu Sains dan Matematik yang berlaku pada hari ini.
“Di saat murid terpaksa menghadapi peperiksaan atau ujian akhir sesi akademik, mereka juga terpaksa menghadapi dengan pentaksiran bilik darjah di mana mereka dinilai setiap kali berlaku aktiviti di bilik darjah.
“Lebih merungsingkan, disebabkan silibus masih tinggi dan banyak, guru-guru tidak dapat melaksanakan aktiviti dalam bilik darjah, justeru, pentaksiran dianggap tidak benar-benar mengukur keupayaan murid-murid.
“Antara lain ia adalah kerana tidak banyak aktiviti dapat dilakukan mengikut keupayaan dan kebolehan murid-murid tersebut,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook miliknya.
Beliau berkata, sistem pembelajaran berasaskan aktiviti pembelajaran sepatutnya bersifat menyeronokkan namun disebabkan ekosistem diamalkan masih menggunakan sistem pembelajaran berasaskan peperiksaan ia mengakibatkan beban keterlaluan kepada murid.
Katanya, guru-guru juga jelas ‘burn-out’ dengan beban pengajaran, penyediaan bahan ditambah dengan tugas lain dan sebagainya.
“Sebagai tanda awal, subjek sukar akan menjadi mangsa terlebih dahulu iaitu subjek Matematik dan Sains. Ia kemudiannya mula menjangkiti subjek seperti Sejarah, Bahasa Malaysia, Pendidikan Islam dan sebagainya.
“Sistem pendidikan kita akan jadi haru biru, cacamarba, beban guru meningkat, beban murid meningkat, ibu bapa juga tidak jelas apa yang dinilai anak-anak mereka. Ini akan menyebabkan seluruh sistem akan menjadi cacamarba dan ia (pencapaian) akan merosot,” katanya.
Justeru Anuar berkata, KPM perlu membuat pilihan sama ada mahu mengembalikan sistem pendidikan berasaskan peperiksaan atau benar-benar melaksanakan sistem pendidikan berasaskan aktiviti pembelajaran.
“Perkara pertama yang harus dilakukan adalah membuat pilihan sama ada kembalikan sistem pendidikan berasaskan peperiksaan dengan mengembalikan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah), PT3 (Pentaksiran Tingkatan Tiga) dan menghapuskan PBD (Pentaksiran Bilik Darjah) atau kita mahu pergi ke sistem pendidikan berasaskan aktiviti pembelajaran tapi laksanakan PBD sepenuhnya.
“Jika mahu melaksanakan sepenuhnya sistem pendidikan berasaskan aktiviti pembelajaran silibusnya mestilah tidak berat, tidak banyak dan fleksibel,” katanya.
Pada masa sama beliau berkata, guru-guru juga harus diberi peluang merancang pelbagai aktiviti dalam bilik darjah, proses pembelajaran berlaku secara berkumpulan dan menyeronokkan.
“Dengan cara itu maka pelaksanaan pendidikan berasaskan aktiviti pembelajaran dapat dilaksanakan dengan baik di dalam kelas yang tidak ramai murid,” katanya. – UTUSAN