PETALING JAYA: Penganjuran Pameran Teknologi dan Inovasi Pertanian atau Show-tech 2023 mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran pengunjung melebihi 300,000 orang selain anggaran jualan tunai yang dicatatkan turut mencecah RM2.7 juta sepanjang tiga hari program ini berlangsung.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Mohammad Zabawi Abdul Ghani berkata, pihak penganjur turut berjaya melaksanakan 168 padanan perniagaan dengan nilai potensi berjumlah RM15.1 juta.
“Selain itu, lebih 300 teknologi agromakanan dipamerkan, 103 teknologi dirunding di bawah pemadanan perniagaan, sembilan memorandum perjanjian di antara MARDI dengan syarikat swasta dimeterai, empat produk inovasi baharu dilancarkan, 28 penyerahan teknologi direalisasikan dan dua buku baharu terbitan MARDI dilancarkan,” katanya dalam kenyataan.
Show-tech 2023 berlangsung sejak 25 hingga 27 Ogos diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang..
Mohammad Zabawi menambah, penganjuran pameran yang bertemakan ‘Peneraju Inovasi Agroteknologi’ ini sangat bertepatan dengan aspirasi bagi mengangkat inovasi teknologi sebagai strategi penting ke arah menjamin bekalan makanan supaya kekal cukup dan tersedia buat semua rakyat Malaysia.
“Kejayaan pelaksanaan aktiviti di sepanjang ShowTech MARDI 2023 secara langsung telah menunjukkan pencapaian objektif penganjuran iaitu sebagai platform perkongsian hasil penyelidikan MARDI kepada masyarakat umum selain memberi kesedaran tentang kewujudan teknologi serta inovasi tempatan yang boleh diguna pakai di dalam sektor agromakanan negara,” tambahnya. – UTUSAN