Serangan keterlaluan PH, BN makan diri - Sanusi

Serangan keterlaluan PH, BN makan diri – Sanusi

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Serangan keterlaluan dilakukan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) khusus di Kedah didakwa telah memakan diri hingga membawa kepada kemenangan besar dicatatkan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN), semalam.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kedua-dua gabungan itu seolah-olah membutakan mata serta memekakkan telinga terhadap pencapaian yang telah dicapai sepanjang tiga tahun Kedah berada di bawah PN.

“Kemenangan ini disebabkan keyakinan rakyat kepada PN. Saya juga lihat serangan berlebihan dibuat PH dan BN kepada kita telah memakan diri. Orang lain nampak tetapi pasal apa hangpa tak nampak kebaikan itu? 

“Apa yang terlihat di mata mereka hanyalah perkara negatif yang dihamburkan setiap hari, menyebabkan rakyat menghukum PH dan BN lalu menunjukkan jalan keluar,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Pas, Kota Sarang Semut di sini, malam tadi.

PN menang besar di Kedah apabila mencatat kemenangan di 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyaksikan sebahagian besar kerusi mendapat undi majoriti tinggi mengatasi lawan.

Muhammad Sanusi berkata, kemenangan besar dicatatkan PN jelas membuktikan bahawa proses mengambil alih kerajaan negeri daripada PH yang berlaku pada 17 Mei 2020 bukanlah dilakukan secara ‘tebuk atap’.

“Telah terbukti bahawa kita masuk ikut pintu depan dan kini pintu itu terbuka lebih luas dengan sokongan serta undi yang diberikan rakyat,” katanya.

Terdahulu ketika ditemui pemberita di Sik, calon Menteri Besar Kedah itu menyifatkan kemenangan besar dengan majoriti lebih tinggi bagi sebahagian besar kerusi DUN membuktikan berlaku penolakan terhadap gabungan PH dan BN di negeri ini.

Muhammad Sanusi berkata, majoriti kemenangan kali ini adalah di luar jangkaan termasuk di DUN Jeneri memandangkan beliau hanya mendapat majoriti sebanyak 2,455 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya rasa orang BN pun tolak gabungan mereka dengan PH dan saya tidak menyangka akan mendapat undi sebanyak itu selain saya dapati ada juga penyokong BN yang tidak keluar mengundi.

“Rakan saya, Datuk Muhamad Khizri Abu Kasim (calon BN Jeneri) menjadi mangsa percaturan kepimpinan parti yang telah bergabung dengan PH menyebabkan pengundi mereka menolak calon BN, inilah manifestasi daripada gabungan yang tidak direstui ahli-ahli,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan tidak berniat untuk mempamerkan kertas undinya ketika membuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Beris Jaya pada semalam.

Katanya, kejadian itu berlaku tanpa sengaja kerana melayani permintaan pengamal media yang memintanya berpusing ke kiri dan kanan untuk dirakamkan gambar.

“Bukan niat saya untuk tunjuk kertas undi itu, saya tidak perasan kertas undi itu terbuka ketika sedang pusing-pusing bagi membolehkan petugas media mengambil gambar tetapi dalam banyak-banyak gambar yang diambil, gambar itu juga yang disiarkan dan itu etika yang tidak bagus,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya