‘Saya masih sayangkan Nad Zainal’ - Utusan Malaysia

‘Saya masih sayangkan Nad Zainal’

NAD Zainal ditemui semasa penggambaran telefilem Mendarat Di Syurga, di Petaling Jaya. UTUSAN/ M.Firdaus M.Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  “Kali terakhir kami berhubung sebelum Nad berkahwin.” 

Itu perkongsian pelakon dan pengacara, Sherry Al Hadad mengenai teman baiknya, Nad Zainal yang dikenali sejak berumur 17 tahun lagi.   

Disebabkan kesibukan masing-masing, katanya, dia sudah lama tidak berhubung dengan pelakon yang pernah menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital swasta, akibat jangkitan kuman pada paru-paru, tahun lalu. 

“Masing-masing ada tanggungjawab dan kebahagiaan sendiri, tetapi saya doakan dari jauh kesejahteraan dia.   

“Saya tak sempat jumpa dia lagi (Nad) tetapi masih berhubung dengan ibu dan ayah Nad Zainal,” kongsinya.  

Ditebak hubungan persahabatan dengan isteri kepada pelakon, Ungku Ismail Aziz itu, Sherry berkata, tali silaturrahim antara mereka tidak pernah putus.  

“Tali silaturrahim itu masih ada lagi, cuma sudah lama kami tidak berjumpa. 

“Saya masih sayang dia sebab pernah jadi ‘guru’ dia. Saya tidak pernah putus doakan terbaik untuk dia, walau apa pun keputusan dibuat dalam hidupnya,” luahnya. 

Tahun lalu, dunia hiburan digemparkan dengan berita kemasukan Nad ke hospital akibat jangkitan kuman sehingga perlu menerima suntikan steroid berdos tinggi.

Ketika tempoh menerima rawatan, Ungku Ismail turut memaklumkan tabung dana kecemasan bagi menampung kos perbelanjaaan rawatan Nad sehingga dana RM270,000 berjaya dikumpulkan.  

Dana yang dikutip menerusi akaun Pertubuhan Kebajikan As-Sidiq itu dibahagikan kepada beberapa bahagian termasuk pasca rawatan bagi membantu perbelanjaan Nad sepanjang tempoh berehat daripada sebarang penggambaran nanti.

Bagaimanapun, sehingga sekarang belum ada sebarang penjelasan daripada Nad atau Ungku Ismail berhubung penggunaan dana hasil kutipan awam tersebut. 

Difahamkan, rakan-rakan artis yang rapat dengan Nad didakwa turut membantu melangsaikan kos perubatan ibu dua anak itu sepanjang berada di sebuah hospital swasta di Ampang. 

Nad mula menjalinkan hubungan rapat dengan Ungku Ismail selepas sama-sama terlibat menerusi drama Cina Buta, sebelum berlanjutan sebagai rakan kongsi menjayakan program berbentuk travelog dalam saluran YouTube milik pelakon drama Teman Lelaki Upahan itu.

Keintiman mereka semakin dapat ‘dihidu’ apabila Ungku Ismail dilihat setia di sisi Nad sepanjang dramatis itu berada dalam situasi kesihatan kritikal akibat masalah paru-paru, November lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN