Sarawak pergiat bidang TVET melalui TEGAS 

Sarawak pergiat bidang TVET melalui TEGAS 

DENNIS Ngau (dua dari kiri) melawat ke salah satu pameran pendidikan dari institusi pendidikan TVET pada Program Jerayawara Karnival Pendidikan dan Kerjaya Project Of Dream Realized (PRO-DR) 2023 di Imperial Hotel, Miri hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIRI: Sarawak terus mempergiatkan usaha dalam mengembangkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada generasi baharu dan belia di Sarawak, melalui Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS). 

Ahli Lembaga Amanah TEGAS, Dennis Ngau berkata, melalui usaha itu, golongan belia mempunyai pilihan yang jelas berkait hubung kursus pengajian yang layak untuk melanjutkan pengajian dalam bidang TVET. 

“Di negara Eropah sendiri, ramai pelajar yang memilih untuk ceburi diri dalam bidang TVET ini kerana apabila tamat sahaja pengajian di institusi TVET, mereka mudah untuk mendapat pekerjaan. Justeru, apa yang kita mahukan kepada belia di Sarawak adalah untuk ceburi dalam bidang TVET ini. 

“Oleh itu, peranan TEGAS amat penting dalam usaha membantu menyampaikan kepada kalangan belia Sarawak terutamanya golongan pelajar di sekolah dari kawasan pedalaman terhadap bidang TVET ini,” katanya pada Majlis Perasmian Program Jerayawara Karnival Pendidikan dan Kerjaya Project Of Dream Realized (PRO-DR) 2023 di sini hari ini. 

Dennis Ngau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telang Usan menjelaskan TEGAS turut berperanan menyebarkan maklumat mengenai pendidikan TVET yang layak diceburi pelajar di kawasan pedalaman Sarawak. 

“Pada mulanya, hasrat kita menubuhkan TEGAS untuk mempromosikan TVET dan sehingga ke hari ini, beberapa kawasan pedalaman dan sekolah untuk memberi maklumat mengenai pendidikan teknikal. 

“Hal ini kerana kita melihat ramai potensi anak-anak lepasan tingkatan lima dan enam ingin melanjutkan pelajaran ke  peringkat universiti dan pendidikan teknikal antara yang ramai dalam kalangan lepasan SPM dan STPM dari luar bandar,” dedahnya. 

Justeru, Dennis Ngau tidak menafikan wujud persaingan untuk mendapatkan pekerjaan ketika ini. 

“Generasi kini perlu mempersiapkan diri dengan pendidikan yang terbaik memandangkan persaingan pekerjaan kini semakin hebat. 

“Bukannya tiada pekerjaan, tetapi peringkat pendidikan bagi pemohon pekerjaan sangat tinggi. Maksudnya semakin hari semakin ramai yang berpendidikan tinggi. 

“Maka, bersiap sedia merebut peluang pendidikan terbaik terutamanya dengan kesesuaian permintaan pasaran pekerjaaan sekarang,” ujarnya lagi. 

Karnival Pendidikan Dan Kerjaya PRO-DR di Miri merupakan lokasi yang kesebelas dan kedua terakhir sebelum melabuhkan tirai program di lokasi terakhir iaitu di Dewan Hotel Sri Malaysia di Lawas pada 18 Ogos setelah hampir 25 hari dilaksanakan. 

Seramai lebih kurang 500 pengunjung hadir ke program tersebut yang terdiri daripada pelajar, belia dan penduduk di kawasan setempat yang ingin mendapat maklumat peluang-peluang pendidikan, latihan dan bantuan pendidikan. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN