Sambutan Hari Kebangsaan bukan bersifat politik, ketepikan perbezaan

Sambutan Hari Kebangsaan bukan bersifat politik, ketepikan perbezaan

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sambutan Bulan Kebangsaan bukan bersifat politikal dan mana-mana pihak perlu mengetepikan perbezaan politik demi negara.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, tindakan Perikatan Nasional (PN) yang mahu menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza untuk sambutan peringkat negeri di bawah pentadbiran parti itu perlu diteliti semula sebagai menghormati bulan kemerdekaan dan tidak sepatutnya ada perbezaan sehingga mewujudkan suasana kurang bersatu-padu.

Beliau menjelaskan, masa berpolitik sudah tamat sebaik sahaja enam Pilihan Raya Negeri (PRN) melabuhkan tirai walaupun bakal menyusul tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak lama lagi.

“Jika sebelum ini angkat bendera parti, sekarang kita ketepikan dan angkat bendera Malaysia pula, kita tidak mahu ada fahaman politik, sekarang kita fokus membangunkan Malaysia bersatu-padu.

“Jika ada agenda lain kita ketepikan sementara waktu, tunggu empat tahun lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri pelancaran #DemiNegaraku & Home of Kids Campaigns anjuran Astro di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berhubung cadangan sambutan itu di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN, hari ini.

Katanya, logo yang diperkenalkan Pemuda PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang, dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.

Dalam pada itu, Fahmi meminta semua rakyat Malaysia memainkan peranan masing-masing meraikan sambutan Bulan Kebangsaan dalam tempoh sebulan ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang termasuk di platform media sosial masing-masing.

“Kita mainkan peranan letak semua nama kita dalam media sosial dengan ikon Jalur Gemilang, muat naik gambar Jalur Gemilang untuk kibarkan di alam siber.

“Di peringkat Jabatan penerangan dan pihak berwajib kita pastikan lebih banyak Jalur Gemilang. Di luar kita usahakan dan secara dalam talian juga kita raikan lebih rancak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya