Saingan 3 penjuru di dua PRK - Utusan Malaysia

Saingan 3 penjuru di dua PRK

SUHAIZAN Kayat (kiri), Samsudin Mohamad Fauzi dan Zulkifli Jaafar mengangkat tangan selepas diumum calon PRK Parlimen Pulai. – MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.

Di Pulai, calon berkenaan ialah Suhaizan Kayat mewakili PH, Zulkifli Jaafar daripada PN dan Samsudin Mohamad Fauzi bertanding atas tiket Bebas.

Suhaizan merupakan Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor manakala Zulkifli ialah Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulai dan Samsudin berkhidmat sebagai Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL).

Pencalonan mereka disahkan dan diumumkan Pegawai Pengurus PRK Parlimen Pulai, Miswan Yunus selepas tempoh mengemukakan borang pencalonan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini ditutup pukul 10 pagi, semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pe­ngundian awal bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 5 September dan hari pengundian, 9 September.

PRK diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Salahuddin berjaya mempertahan Parlimen Pulai dengan 64,900 undi menewaskan Datuk Nur Jazlan yang mewakili Barisan Nasio­nal (BN) dengan memperoleh 31,726 undi dan calon PN, Loh Kah Yong (20,677 undi).

Parlimen Pulai mempunyai 167,108 pengundi terdiri daripada 74,814 Melayu (44.17 peratus), Cina 67,635 (40.48 peratus), India 20,555 (12.30 peratus) dan lain-lain 5,104 (3.05 peratus).

CALON Bebas, S. Jeganathan (kiri), Nazri Abdul Rahman dan Mohd. Mazri Yahya selepas diumumkan sebagai calon PRK Dun Simpang Jeram. – MINGGUAN/SHIDDIEQIIN ZON

Dalam pada itu di DUN Simpang Jeram, calon PN, Dr. Mohd. Mazri Yahya tiba kira-kira pukul 8.35 pagi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar dan mengemukakan kertas penamaan pada pukul 9.04 pagi.

Ia kemudian disusuli calon PH, Ir. Nazri Abdul Rahman yang tiba kira-kira pukul 9.00 pagi diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta ratusan penyokong PH dan BN.

Nazri mengemukakan kertas penamaan pada pukul 9.08 pagi diikuti calon Bebas, S. Jeganathan pukul 9.18 pagi.

Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri itu dijangka tidak berdepan kesukaran mempertahan kerusi berkenaan jika mendapat sokongan penuh pengundi BN dan UMNO.

Ini kerana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac 2022, Salahuddin memperoleh 8,749 undi iaitu dengan majoriti agak selesa iaitu sebanyak 2,399 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN