DUNGUN: Semangat perpaduan dan kerjasama antara penduduk di Felda Kerteh 6, dekat sini, terserlah apabila mereka bersatu hati menghiasi kawasan tanah rancangan itu dengan ribuan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 pada 31 Ogos ini.
Penduduk di Felda tersebut sanggup mengeluarkan duit sendiri membeli Jalur Gemilang bagi menghias kediaman masing-masing serta kawasan kampung untuk menyemarakkan lagi sambutan itu selain menganjurkan pertandingan menghias Jalur Gemilang di peringkat kampung.
Penyelaras program, Zubir Yusof berkata, antara kategori yang dipertandingkan ialah rumah contoh, papan tanda terbaik dan hiasan Jalur Gemilang tercantik.
“Di Felda Kerteh 6 ini, menjadi ‘kewajipan’ bagi kami menghias lebih 400 buah rumah dan kawasan kampung dengan Jalur Gemilang. Tak lengkap rasanya kalau kami tak lakukan sesuatu sempena sambutan Hari Kebangsaan.
“Kita nak tunjukkan semangat cintakan negara kepada generasi muda yang mana penduduk menggunakan kreativiti masing-masing menghias Jalur Gemilang,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, suri rumah, Aishah Ali, 60, berkata, program tersebut merapatkan lagi hubungannya dengan penduduk lain.
“Kami seronok menghias rumah masing-masing. Bagi suri rumah seperti saya, kami akan luangkan masa pada waktu pagi atau petang untuk menghias rumah.
“Sebenarnya kami dah buat persiapan awal sejak beberapa bulan lalu untuk beli Jalur Gemilang. Bukan hadiah yang kami mahukan, tapi kami nak tunjukkan semangat patriotik kepada rakyat lain yang berkunjung ke kampung ini,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Rohimi Yahya, 45, berkata, mereka bukan hanya mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi membina replika sendiri menggunakan bahan terbuang.
“Ada penduduk yang buat taman mini, patung ‘orang-orang’ menggunakan bendera, wau bulan dan pelbagai lagi.
“Kami bersama-sama memerah idea dan keringat untuk mencantikkan kawasan kampung. Walaupun penat berjemur tengah panas, kami puas apabila melihat kawasan kampung dihiasi pelbagai hiasan Jalur Gemilang,” katanya. – UTUSAN











