Remaja lelaki 17 tahun ditangkap bunuh rakan - Utusan Malaysia

Remaja lelaki 17 tahun ditangkap bunuh rakan

MAYAT lelaki reput dijumpai dalam parit di kawasan kebun kelapa sawit Khamis lalu di Rungkup, Bagan Datuk. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Suspek kes bunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemukan reput di dalam parit di kawasan kebun kelapa sawit dekat Rungkup, Bagan Datuk Rabu lalu, berjaya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, remaja lelaki berusia 17 tahun yang juga jiran kepada mangsa itu diberkas di Hutan Melintang, kelmarin.

“Berdasarkan siasatan, suspek dan mangsa berusia 21 tahun adalah kawan dan mereka berdua tinggal di kawasan perumahan sama di Teluk Intan.

“Punca pembunuhan itu disebabkan suspek cemburu kepada mangsa kerana dikatakan mengganggu teman wanitanya berusia 20 tahun,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil soal siasat, suspek mengaku membunuh mangsa pada 20 Ogos lalu sebelum mayatnya dibuang di dalam parit di lokasi kejadian.

Katanya, suspek direman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Dengan tertangkapnya remaja itu, polis telah berjaya menangkap suspek yang disyaki terlibat dalam kes bunuh seorang lelaki, dalam tempoh 48 jam selepas mayatnya ditemukan,” katanya.

Pada Khamis lalu, mayat seorang lelaki dengan kesan luka di bahagian tangan, kaki dan leher ditemukan dalam parit di kawasan kebun kelapa sawit dekat Jalan Pasir, Kampung Sungai Payung Baroh, Rungkup.

Identiti mangsa bagaimanapun belum dapat dikenal pasti ekoran keadaannya yang sudah reput selain tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai bersama si mati.

Hasil bedah siasat di Jabatan Forensik di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh mendapati punca kematian mangsa disebabkan oleh luka potongan pada bahagian kepala dan leher. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya