GEORGE TOWN: Feri baharu Pulau Pinang yang menggantikan feri ikonik memulakan operasi secara rasmi semalam dengan 1.2 juta penumpang dijangka menggunakan perkhidmatan itu secara sehala dalam tempoh setahun.
Ia beroperasi dari dua buah terminal secara ulang-alik iaitu Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) dan Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) serta tidak lagi menggunakan jeti Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) sebagai terminal feri sementara.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menjadi antara individu terawal menggunakan perkhidmatan feri baharu itu melalui trip pertama kira-kira pukul 6.30 pagi dari PSAH, Butterworth.
Kon Yeow berkata, ia merupakan perkhidmatan yang sangat penting bagi rakyat khususnya yang menggunakan medium pengangkutan itu untuk berulang-alik ke tempat kerja.
“Kini feri Pulau Pinang berwajah baharu dengan adanya empat buah feri yang dinamakan sebagai Teluk Bahang; Teluk Kampi; Teluk Duyung dan Teluk Kumbar, menggantikan feri ikonik Pulau Pinang,’’ katanya dalam sidang akhbar di PRTU, di sini.
Menurutnya, pihak Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) akan menanggung kos tiket selama sebulan bermula semalam hingga 6 September ini.
Sementara itu, perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang itu mendapat pujian daripada penumpang.
Rata-rata mereka rasa teruja dan gembira apabila pengangkutan feri baharu itu kini lebih selesa dan pantas.
Seorang penumpang, Ahmad Aizad Azizan, 29, berkata, perjalanan dari PSAH menuju PRTU di bahagian pulau dengan mengggunakan feri baharu itu amat selesa.
Seorang lagi penumpang, Gooh Wei Chun, 50, berkata, dia menggunakan perkhidmatan feri setiap hari kerana bekerja di bahagian pulau dan mendapati perkhidmatan feri baharu itu amat mesra pengguna.
Suraya Khor Abdullah, 55, pula berkata, urusan pembelian tiket feri juga amat mudah. – UTUSAN










