Projek Smart SBB bantu tingkatkan hasil pesawah 50 peratus

Projek Smart SBB bantu tingkatkan hasil pesawah 50 peratus

Polisi intervensi kerajaan era 1960-an tidak membantu petani. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Hasil pendapatan kira-kira 70 pesawah yang terlibat dengan Projek Smart Sawah Berkala Besar (Smart SBB) Mini Sekinchan Mada di Kampung Lat 1,000 di sini, meningkat sehingga 50 peratus selepas hasil mencecah 10.45 tan metrik per hektar.

Hasil lebih 10 tan metrik bagi keluasan satu hektar itu juga disifatkan paling tinggi pernah direkodkan di negeri ini, memandangkan hasil kebanyakan pesawah sebelum ini hanya sekitar empat ke lima tan metrik sahaja bagi keluasan sama.

Projek Mini Sekinchan di Kampung Lat 1,000 yang bermula pada musim satu 2023 itu membabitkan keluasan 100 hektar dengan penglibatan kira-kira 70 pesawah di sekitar Arau.

Hasil keseluruhan padi pada musim ini di kawasan berkenaan mencecah sehingga 1,045 tan metrik iaitu jumlah yang cukup tinggi selepas para pesawah mengikut kaedah penanaman ala ‘Sekinchan’ tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Projek berkenaan, Allen Lim Mauson, 50, berkata, selepas Sekinchan, hasil lebih 10 tan metrik perhektar itu juga antara tertinggi di negara.

Katanya, selain penggunaan teknologi moden serta sistem pengairan yang baik, usaha dan disiplin para pesawah khususnya membabitkan pengurusan bendang juga antara faktor kepada peningkatan hasil berkenaan.

Ujarnya, berikutan peningkatan hasil itu, pendapatan pesawah boleh mencecah sehingga RM10,000 perhektar berbanding sebelum ini sekitar RM4,000 ke RM5,000 iaitu peningkatan sehingga lebih 50 peratus.

“Hasil yang dituai musim ini selepas mengikut kaedah penanaman ala ‘Sekinchan’ itu sangat tinggi selain hasil padi yang cukup cantik. Penanaman mengikut kaedah tersebut (projek Smart SBB Mini Sekinchan) itu perlu diperluaskan lagi kerana hasilnya sudah nyata.

“Disiplin para pesawah juga sangat penting khususnya daripada aspek pengurusan sawah seperti masa untuk proses menabur baja, racun, buang padi angin selain sistem pengairan yang baik. Hasil tersebut bukan sahaja direkodkan paling tinggi di Perlis malah juga di Malaysia,” katanya.

SMART SBB mula diperkenalkan pada awal 2021 dan adalah satu inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk meningkatkan kadar tahap sara diri (SSL).

Difahamkan setakat ini, program tersebut telah dilaksanakan di kawasan seluas 11,000 hektar di seluruh negara melibatkan 4,000 pesawah dengan sasaran keseluruhan 240,000 pesawah terlibat dengan program Smart SBB itu.

Projek Smart SSB Mini Sekinchan itu juga antara langkah melonjakkan peningkatan hasil padi ke tahap yang lebih baik dalam mengurangkan kebergantungan kepada import beras.

Sementara itu, Allen berkata, melihat kepada perkembangan tersebut, projek berkenaan mungkin diperluaskan pada musim depan melibatkan kawasan seluas 300 hektar di Kuala Sanglang.

“Projek di kawasan berkenaan musim depan akan melibatkan lebih ramai pesawah,” katanya.

Ditanya sama kawasan berkenaan sesuai untuk pelaksanaan penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun tahun, Allen berkata, ia boleh dilaksanakan namun memerlukan kawasan penanaman yang luas sekurang-kurangnya 1,000 hektar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN