PRN: Zahid yakin BN akan jadi sebahagian Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

PRN: Zahid yakin BN akan jadi sebahagian Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang

AHMAD ZAHID Hamidi ketika berucap pada program Jelajah Perpaduan Madani, di Kampung Melayu, Air Itam, Pulau Pinang, malam ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin parti itu akan menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan baharu di Pulau Pinang menerusi sokongan hebat yang diberikan pengundi di negeri tersebut.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, kombinasi antara BN dan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah berlaku sebelum ini dan gabungan BN-PH menjadi bukti Kerajaan Perpaduan berlaku adil kepada semua kaum tidak kira Melayu, Cina atau India.

”Kalau ini sambutan yang diberikan (pengundi) saya yakin di bawah Chow Kon Yeow sekali lagi Pulau Pinang akan berada di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

”Biarpun telah 15 tahun UMNO dan BN tidak menjadi kerajaan (di Pulau Pinang), atas restu Perdana Menteri dan Kon Yeow, saya yakin BN akan menjadi sebahagian kerajaan Pulau Pinang yang baharu,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Perpaduan Madani, di Kampung Melayu, Air Itam di sini, malam ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau telah mengarahkan kesemua Pengerusi BN di setiap Parlimen dan DUN memberikan sokongan kepada calon-calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di kerusi DUN yang tidak ditandingi BN.

”Sebelum capai matlamat ini (menjadi sebahagian kerajaan di Pulau Pinang), saya telah arahkan Pengerusi BN di setiap Parlimen dan DUN agar jentera kita berikan sokongan yang sama kepada calon PH.

”Ini kerana jentera PH telah memberikan komitmen mereka dan mereka juga akan bekerja keras untuk menangkan enam calon BN di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau juga yakin pengundi Melayu akan turut memberi sokongan kepada siapa sahaja yang menjadi calon Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang.

”Kerajaan Negeri Pulau Pinang wajib didokong oleh orang Melayu, Cina, India dan pelbagai kaum yang ada di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya