PRN: PN kemuka 112 tawaran berjumlah RM2 bilion - Utusan Malaysia

PRN: PN kemuka 112 tawaran berjumlah RM2 bilion

PN
MUHYIDDIN Yassin bersama Mohamed Azmin Ali menunjukkan buku Tawaran PN Selangor selepas melancarkannya bagi menghadapi PRN, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) menyediakan 112 tawaran dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai RM2 bilion melalui tujuh tunjang utama dan 25 pendekatan kepada pengundi Selangor bagi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Tawaran tersebut bersandarkan kepada bebanan kos sara hidup dihadapi rakyat di negeri ini yang kebanyakannya berada dalam kawasan bandar.

Tujuh tunjang tersebut adalah semarak masyarakat harmoni, sejahterakan kehidupan rakyat, junjung prinsip tadbir urus dan politik yang bersih, ekonomi masa hadapan yang utuh, wanita teras masyarakat dan ekonomi negeri, modal insan gemilang serta alam lestari dan infrastruktur bestari.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penyediaan tawaran yang bertemakan Selangor Baharu Kita Bangkit itu susulan ketidakcekapan Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk menawarkan penyelesaian berkesan terhadap masalah rakyat.

“Saya turun ke bawah dan mendapati ramai yang mengeluh mengenai kenaikan harga barang, perniagaan yang merosot, pendapatan yang tidak bertambah di samping tiadanya bantuan daripada kerajaan yang benar-benar dapat membantu meringankan beban yang sedang ditanggung oleh rakyat dan perniagaan.

“Apabila saya bertemu orang ramai di lapangan, mereka bukan sekadar kecewa, tetapi marah terhadap kerajaan. Malangnya, selepas lapan bulan mentadbir negara, kerajaan campuran PH-BN seolah-olah tidak tahu hendak menguruskan negara ini dengan cekap,” katanya ketika berucap pada Majlis Tawaran PN Selangor, hari ini.

 

Tangani kos sara hidup

Dalam tawaran dikemukakan itu, yang disandarkan kepada kos sara hidup antaranya adalah pemberian RM400 juta kepada 65,000 keluarga di Selangor dengan jumlah keseluruhan RM312 juta setahun.

Selain itu, PN berhasrat memberikan insentif RM500 bagi pasangan baharu berkahwin dan yang baharu melahirkan anak, penyediaan rumah pertama, transit atau sewa, elaun bagi imam, siak, nazir dan bilal sebanyak RM600 hingga RM1,700.

Turut dijanjikan kepada pekerja dalam sektor ekonomi gig melibatkan pekerjaan seperti e-hailing dan p-hailing iaitu insentif penyelenggaraan dan pembaikan motosikal serta perlindungan insurans bernilai RM700 setahun.

Juga tidak ketinggalan adalah Bantuan Prihatin Nelayan Selangor berjumlah RM5 juta setahun melibatkan bantuan seperti enjin bot dan alatan akuakultur.

Malah, PN juga menjanjikan untuk memansuhkan bayaran parkir oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di bahagian Selangor Utara melibatkan Majlis Daerah Sabak Bernam, Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor.

Turut tidak terkecuali adalah penjawat awam di negeri ini yang ditawarkan elaun khas dua bulan gaji atau tiga bulan gaji jika kerajaan negeri mempunyai kemampuan kewangan.

Membina Selangor sebagai hab tenaga kerja masa hadapan dengan mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan dalam bidang berkemahiran tinggi serta memberi elaun RM1,500 pagi pelatih industri dalam agensi atau anak syarikat kerajaan negeri.

PN juga berhasrat menyediakan bantuan yuran pengasuhan kanak-kanak sebanyak RM150 sebulan untuk 50,000 kanak-kanak daripada keluarga yang memerlukan serta RM500 sebulan selama tiga bulan dalam Inisiatif Wanita Waja kepada wanita yang kehilangan suami sama ada berpisah atau kematian.

Selain itu, PN mahu mengembalikan semula skim air 20 meter padu percuma kepada pemegang akaun yang berpendapatan isi rumah RM15,000 sebulan ke bawah.

 

PN
MUHYIDDIN Yassin berucap pada Majlis Pelancaran Tawaran PN Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. – UTUSAN / AFIQ RAZALI

Tawaran kepada peniaga kecil

Sementara itu, bagi sektor perniagaan, mereka yang terlibat dengan perusahaan kecil seperti penjaja dan peniaga kendera saji, PN berhasrat menawarkan pengecualian fi dan bayaran lesen perniagaan untuk penjaja, gerai dan pasar serta sewa tapak perniagaan milik PBT bagi penjaja berdaftar.

Turut disediakan RM50 juta kepada peniaga yang terlibat dengan perniagaan kendera saji sebagai kemudahan pinjaman tanpa faedah untuk mengembangkan perusahaan mereka.

PN berjanji memperuntukkan dana khas Tani Bangkit sebanyak RM100 juta kepada usahawan tani muda untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran agromakanan melalui penggunaan teknologi dan automasi.

Mewujudkan Hab Mega Makanan melalui insentif Dana Makanan Selangor (DaMaS) bernilai RM150 juta bagi meningkatkan hasil pengeluaran, termasuk tanaman, ternakan dan perikanan berskala besar dan berteknologi tinggi untuk pasaran domestik dan antarabangsa

Memperkenalkan program Kebun Prihatin dengan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi setiap kebun komuniti yang berpotensi untuk dikembangkan dan memperkukuh rantaian bekalan makanan rangkaian Gerai Prihatin Rakyat untuk menyediakan makanan asas pada harga berpatutan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

PN juga akan menjadikan Selangor sebagai destinasi pelancongan berkualiti dan berprestij. Ini termasuk menyediakan insentif Selangor Destinasi Pilihan bernilai RM200 juta.

Memperuntukkan dana tambahan RM20 juta bagi meningkat dan meluaskan pasaran eksport produk dan perkhidmatan bernilai tambah tinggi termasuk memperkenalkan inisiatif Buy Selangor Products di pasaran antarabangsa.

Memperkenalkan semula dan memperkasa Skim Mikro Kredit (HIJRAH) bagi mengupaya peniaga-peniaga kecil yang memerlukan modal perniagaan dengan dana pusingan berjumlah RM500 juta untuk manfaat 100,000 peniaga kecil

Menyediakan dana Restart Selangor RM50 juta setahun untuk membiayai penggantian peralatan perniagaan rosak akibat bencana atau musibah dan mewujudkan dana Digital Niaga Selangor (Dinis) berjumlah RM50 juta setahun bagi membantu usahawan muda Selangor.

Bagi usahawan wanita, PN menawarkan inisiatif Wanita BEST bagi memperkasa 30,000 perniagaan milik usahawan wanita yang berdaya saing melalui penyediaan geran sehingga RM10,000.

Memperkenalkan inisiatif Srikandi Profesional (SriPro) dengan dana pemula sehingga RM50,000 dan memperuntukkan dana khas berjumlah RM50 juta kepada agensi kerajaan negeri dan syarikat swasta bagi membuka pusat asuhan baharu di tempat kerja.

 

Bidang pendidikan

Sementara dalam sektor pendidikan pula, PN berhasrat mewujudkan Tabung Biasiswa Industri Masa Hadapan Selangor berjumlah RM20 juta untuk anak Selangor daripada keluarga yang memerlukan bagi melanjutkan pengajian dalam bidang industri masa hadapan terpilih.

Memperkenalkan skim EduStart Selangor dengan bantuan awal pengajian iaitu RM1,500 kepada semua pelajar tahun pertama anak Selangor yang akan mendaftar masuk ke IPT, manakala RM500 kepada semua pelajar baharu matrikulasi dan tingkatan enam.

Memberi insentif khas GigEduSelangor sebanyak RM1,500 kepada pekerja sektor ekonomi gig anak Selangor yang ingin melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).

Selain itu PN berjanji untuk mewujudkan Akademi Sains Selangor dengan menyediakan pendidikan peringkat sekolah rendah yang memfokuskan pendidikan sains, teknologi dan inovasi.

Mewujudkan dana pembelajaran khas sebanyak RM2 juta setahun bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) dan menyalurkan Dana Bantuan PIBG sebanyak RM5,000 setahun kepada semua sekolah kerajaan di Selangor termasuk SJK (C) dan SJK (T) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5 juta.

Menawarkan insentif khas bagi sekolah tahfiz dan agama negeri untuk menyertai sistem kemahiran TVET dan memperkenalkan inisiatif Selangor Prihatin Anak Sekolah (SPAS) dengan bantuan tambang bas sekolah sebanyak RM100 sebulan kepada 20,000 anak Selangor melalui kerjasama pengusaha bas sedia ada.

Bagi memastikan persekitaran pendidikan yang kondusif, sejumlah RM120 juta akan diperuntukkan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran termasuk aspek pendigitalan pendidikan, di samping pembinaan sekolah agama rakyat integrasi sains dan teknologi baharu. 

Bantuan yuran KAFA juga akan diberi kepada murid daripada keluarga yang memerlukan dengan peruntukan RM6 juta setahun.

Turut tidak ketinggalan juga insentif kepada organisasi bukan kerajaan (NGO) yang bergiat aktif PN akan menyediakan dana khas Selangor Harmoni berjumlah RM10 juta kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi pelaksanaan program yang memupuk keharmonian masyarakat berbilang kaum.

PN juga berhasrat menyediakan dana sebanyak RM10 juta sebagai insentif kepada NGO untuk pelaksanaan aktiviti serta program pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Selain itu, sebuah agensi khusus kerajaan negeri juga bakal ditubuhkan bagi memperkasa usaha meningkatkan taraf sosioekonomi kumpulan minoriti khususnya masyarakat India dan komuniti Orang Asli dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.

 

PN
MUHYIDDIN Yassin bersama pimpinan PN Selangor hadir pada Majlis Pelancaran Tawaran PN Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. – UTUSAN / AFIQ RAZALI

Majlis Tindakan Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor

Jelas Muhyiddin lagi, Majlis Tindakan Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor akan diwujudkan sebaik sahaja PN membentuk kerajaan negeri selepas PRN pada 12 Ogos nanti.

“Diwujudkan supaya tindakan-tindakan segera boleh diambil oleh kerajaan negeri dengan kerjasama pihak industri untuk merancakkan semula ekonomi negeri Selangor dan menyegerakan  penyelesaian masalah kos sara hidup rakyat,” jelasnya.

Malah, katanya lagi, tawaran-tawaran daripada PN adalah realistik dan boleh dilaksanakan berdasarkan kepada pengalaman dan kepakaran dimiliki oleh bakal pemimpin kerajaan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya