PRN: PH-BN yakin 26 kerusi DUN Pulau Pinang sudah dalam genggaman - Utusan Malaysia

PRN: PH-BN yakin 26 kerusi DUN Pulau Pinang sudah dalam genggaman

GOH CHOON AIK ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto dan Pengenalan Calon-Calon Perpaduan di Pusat Konvensyen PICCA Butterworth Arena, Pulau Pinang malam ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yakin 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) Pulau Pinang kini berada dalam genggaman sekali gus sudah berjaya membentuk kerajaan negeri.

Naib Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Pulau Pinang, Goh Choon Aik berkata, kemenangan yang diyakini itu meliputi kerusi DUN Bayan Lepas sehingga Tanjung Bungah di bahagian pulau, manakala bahagian Seberang Perai merangkumi kawasan DUN Bukit Tambun sehingga Sungai Puyu.

Katanya, kerusi-kerusi yang ditandingi itu umpama seperti berlawan sendiri dengan bayang-bayang.

“Saya nak tekankan, 26 kerusi sudah dalam genggaman, empat kerusi lagi masih bertarung sengit dan empat lagi kita perlu susun semula strategi dan bekerja lebih keras untuk mencuri peluang bagi memintas lawan kita.

“Kita boleh beroleh kemenangan kerana macam lawan dengan diri sendiri, lawan dengan bayang-bayang kita sahaja, mana pergi bendera Perikatan Nasional (PN)?

“Saya yakin, Kerajaan Perpaduan akan kekalkan pemerintahan di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto dan Pengenalan Calon-Calon Perpaduan di Pusat Konvensyen PICCA Butterworth Arena, di sini malam ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Datuk Dr. Roslan Ahmad dan Pengerusi BN negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua jentera PH dan BN diminta mengurangkan kempen di kawasan agak kuat, sebaliknya turun padang bagi membantu calon yang berdepan persaingan sengit.

“Selain kekuatan jentera kempen, saya yakin penduduk Pulau Pinang cukup bijak untuk membuat pilihan dan mengekalkan kerajaan sedia ada.

“Kita perlu kekalkan kesamaan antara kerajaan negeri dan Persekutuan supaya terus senada sekali gus memastikan negeri tidak akan dianaktiri seperti yang kita rasai 15 tahun lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya