PRN: Calon Bebas Ijok cadang forum tiga penjuru DUN Ijok - Utusan Malaysia

PRN: Calon Bebas Ijok cadang forum tiga penjuru DUN Ijok

Ijok
TAN Cat Keong menyantuni rakyat di sekitar DUN Ijok , Kuala Selangor, Selangor. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Calon Bebas, Tan Cat Keong mencadangkan satu forum atau wawancara khas diadakan bersama dua calon lain bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.11 Ijok.

Beliau yang juga satu-satunya calon tiada berparti di utara Selangor bersaing tiga penjuru dengan calon Pakatan Harapan (PH), Amidi Abdul Manan dan Jefri Mejan dari Perikatan Nasional (PN).

Menurut bekas Presiden Dewan Perniagaan Cina Daerah Kuala Selangor Dan Sabak Bernam itu, objektif penganjuran forum berkenaan bertujuan memupuk budaya politik sihat berlandaskan Perlembagaan Malaysia dan persaingan dalam sistem demokrasi berparlimen.

“Menerusi kaedah itu, ketiga-tiga calon termasuk saya dapat menyampaikan manifesto masing-masing kepada para pengundi.

“Selain itu, ia menjadi contoh kepada rakyat bahawa proses demokrasi dapat dijalankan dalam keadaan tertib tanpa sebarang pertikaian dan menjimatkan kos, masa serta tenaga dalam tempoh berkempen,” katanya ketika ditemui di Bestari Jaya.

Jelas Cat Keong, beliau sudah memaklumkan cadangan itu kepada pihak pemimpin kedua-dua calon yang bersetuju secara dasarnya dengan inisiatif tersebut.

“Namun, mereka akan mendapatkan persetujuan mengenainya daripada Amidi dan Jefri. Soal lokasi dan waktu terserah sepenuhnya kepada mereka untuk ditentukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Cat Keong berkata, sokongan pengundi sepanjang 13 hari berkempen amat positif setakat ini.

“Perjuangan saya memfokuskan isu pembangunan ekonomi termasuk pelancongan dengan menggalakkan lebih ramai pelabur tempatan dan luar negara melabur di kawasan DUN Ijok.

“Selain itu, saya mahu memodenkan sektor pertanian dengan memperkenalkan penanaman anggur dan strawberi serta memperjuangkan pembinaan simpang susur keluar masuk Lebuhraya Pantai Barat (WCE) di laluan berdekatan Kampung Asahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya