KUALA LUMPUR: Tidak mahu membayangi mana-mana pihak, Barisan Nasional (BN) sepakat untuk memberi laluan kepada parti Amanah untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor yang dijadual berlangsung pada 9 September ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, seluruh kepemimpinan dan ahli menghormati dan memberi laluan kepada Amanah yang disifatkan berhak untuk merebut kerusi tersebut.
“Kita amat menghormati kebersamaan Amanah sebagai rakan kongsi politik dalam Kerajaan Perpaduan. Kita tahu bahawa kerusi parlimen itu adalah hak parti Amanah iaitu rakan kongsi politik kita dalam Kerajaan Madani.
“Maka kita harus menghormati mereka sebagai calon boleh menang. Yang keduanya, kerusi DUN itu juga kepunyaan parti Amanah.
“Maka atas semangat Kerajaan Madani itu kita akan mendukung kedua-dua calon untuk berusi itu untuk ditandingi oleg parti Amanah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pada Majlis Pelancaran Jelita di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Johor adalah pada 9 September.
Menurut Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan ialah masing-masing pada 26 Ogos dan 5 September.
PRK itu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P161 Pulai dan DUN N13 Simpang Jeram selepas kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.
Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak. – UTUSAN