PETALING JAYA : Satu siasatan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap seorang aktivis D. Arumugan berhubung hantaran video yang mengandungi kenyataan berbaur penghinaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kenyataan berkenaan telah dimuat naik di laman sosial Facebook lelaki berkenaan pada 18 Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, susulan daripada itu, pemilik dan pengendali akaun berkenaan telah dipanggil ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), semalam bagi merakam keterangan bagi membantu siasatan.
Kata beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kes ini masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau berkongsi maklumat yang salah sehingga boleh mengganggu proses siasatan atau menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertinfak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan negara,” katanya dalam satu kenyataan .
Sebelum ini, Perdana Menteri telah mengajar seorang lelaki yang baru memeluk Islam ucapan kalimah syahada di Masjid Ar-Rahimiah, Klang selepas beliau menunaikan solat jumaat bersama jemaah di sekitar kawasan itu.
Rentetan itu, aktivis berkenaan dalam respons lima minitnya dalam bahasa Tamil, telah mengkritik tindakan Anwar dan menyifatkan beliau tidak sensitif terutamanya kepada penganut agama Hindu di Malaysia.
Arumugan membuat hantaran berkenaan berkata, dia tidak menentang hak pemuda beragama Hindu itu yang mahu memeluk Islam sebaliknya menyifatkan tindakan itu adalah “lakonan” susulan kehilangan sokongan orang Melayu dalam Pilihan Raya Negeri baru-baru ini.-UTUSAN