SHAH ALAM: Lokasi menempatkan bangkai pesawat peribadi yang terhempas di Elmina, Seksyen U16 di sini, dikawal ketat polis, hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kawasan yang menempatkan bangkai pesawat dan sebuah kereta ditutup dengan kanvas serta jaring hitam bagi menghalang orang awam mendekati lokasi kejadian.
Terdapat empat anggota polis dilihat berkawal di kawasan berkenaan daripada didekati orang awam.
Malah, terdapat pengunjung yang meluahkan kekecewaan apabila tidak dapat melihat lokasi menempatkan bangkai pesawat tersebut.
Pengunjung yang hanya ingin dikenali sebagai Ros, 40, berkata, dia serta anak-anak datang dari Puncak Alam, di sini untuk melihat lokasi pesawat terhempas namun kecewa apabila kawasan berkenaan ditutup dengan jaring hitam dan kanvas.
“Datang sini ingat nak tengok pesawat tetapi rupanya dah ditutup, polis pun kawal ketat. Tiada rezeki nak tengok,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) bersama pakar penerbangan dari Amerika Syarikat (AS) akan ke lokasi nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1), Isnin ini, bagi menyiasat punca nahas.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim dilaporkan berkata, bagi memastikan bangkai pesawat tersebut terjaga, pihaknya akan melakukan kawalan 24 jam di lokasi kejadian.
Katanya, ia antara lain bagi mengelakkan bangkai pesawat yang juga adalah bahan bukti tidak diganggu oleh mana-mana pihak sehingga siasatan pasukan BSKU selesai.
“Jadi, sekarang kita hanya membuat kawalan keselamatan terhadap bangkai pesawat 24 jam sehari sehingga pasukan BSKU dengan pakar penerbangan dari AS tiba yang dijangka Isnin ini untuk menjalankan siasatan selanjutnya,” katanya.
Dalam nahas pukul 2.40 petang itu, 10 individu disahkan meninggal dunia dengan lapan daripadanya adalah juruterbang dan penumpang pesawat ringan tersebut.
Dua lagi mangsa adalah seorang pemandu dan penunggang e-hailing yang ketika nahas melalui lokasi kejadian.
Antara penumpang pesawat yang maut adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Ketika kejadian, pesawat dengan nombor pendaftaran N28JV itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Pesawat itu dikesan melencong ke kanan dari laluan penerbangan dengan siasatan awal mendapati pesawat berkenaan sudah mendapat kebenaran untuk mendarat oleh menara kawalan Lapangan Terbang Subang.- UTUSAN