Polis bantu SPRM keluar notis merah kesan menantu Muhyiddin

Polis bantu SPRM keluar notis merah kesan menantu Muhyiddin

MUHAMMAD Adlan Berhan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengenakan notis merah terhadap menantu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Muhammad Adlan Berhan dan seorang peguam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, tindakan menyenaraikan nama mereka di dalam notis merah akan dilakukan sekiranya dimohon SPRM.

“Kita sedia bantu SPRM mengenai perkara itu,” katanya.

Sementara itu, satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, keberadaan Muhammad Adlan di luar negara kerana beliau mempunyai urusan kerja.

Sumber berkata, SPRM sudah beberapa kali cuba menghubungi beliau sejak Mei lalu namun pelbagai alasan diberikan termasuk perlu menghadiri mesyuarat di negara luar.

Kata sumber itu, Muhamad Adlan dikatakan akan menyelesaikan urusan kerja tersebut dalam tempoh beberapa minggu selepas dia keluar dari negara ini pada 17 Mei lalu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak terima sebarang surat daripada peguam Muhamad Adlan dan dia tidak perlu beri alasan sebaliknya hanya perlu tampil.

“Saya juga tidak tahu jika dia mempunyai perniagaan atau tidak di luar negara,” ujar beliau.

Isnin lalu, menantu Muhyiddin serta seorang peguam Mansoor Saat, 69, dicari SPRM bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Semalam, Azam mengesahkan pihaknya akan memohon bantuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi menyenaraihitamkan pasport kedua-dua individu kerana kedua-dua mereka diperlukan untuk tindakan mahkamah (pendakwaan).

Dalam pada itu, Azam berkata, pihaknya akan memohon ‘red notice’ atau notis merah kepada Polis Antarabangsa (Interpol) agar menyenaraikan kedua-dua individu terbabit jika masih gagal dikesan.

Semakan rekod oleh SPRM juga mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN