PH-BN usul petisyen di Sungai Kandis, teliti DUN majoriti tipis - Utusan Malaysia

PH-BN usul petisyen di Sungai Kandis, teliti DUN majoriti tipis

PH-BN
AMIRUDIN Shari bersalaman dengan calon-calon PH-BN yang memenangi kawasan masing-masing pada PRN pada sidang akhbar khas parti itu di Klang, Selangor. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) akan meneliti keputusan-keputusan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menunjukkan majoriti tipis termasuk di Sungai Kandis untuk diusulkan petisyen atau bantahan.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata,  terdapat perkara-perkara yang dibangkitkan dalam soal pengiraan kertas undi termasuk dipercayai hilang seperti di DUN N.49 Sungai Kandis.

“Saya dimaklumkan ada beberapa hal yang boleh di dipertimbangkan untuk petisyen atau diambil tindakan susulan, pihak peguam kita akan meneliti beberapa persoalan dalam beberapa kerusi.

“Kehilangan ataupun kertas undi yang tidak dikembalikan seperti di Sungai Kandis dan jumlah perbezaannya sangat kecil, seperti majoriti 167.

“Di Gombak Setia, 58, saya percaya mungkin di situ ada…tetapi biarlah peguam meneliti bagi persoalan-persoalan tersebut atau penelitian terhadap analisis,” katanya dalam sidang akhbar malam tadi.

Gabungan PH-BN berjaya membentuk Kerajaan Perpaduan di Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam apabila menang di 34 kerusi (PH-32, BN-2) dalam keputusan yang diumumkan malam tadi.

Bagaimanapun, kerusi-kerusi tumpuan mereka seperti di Hulu Kelang, Gombak Setia, Sungai Kandis, Paya Jaras, Taman Medan dan Dengkil tewas di tangan calon Perikatan Nasional (PN) yang berjaya menawan 22 daripada 56 kerusi DUN.

Dalam pada itu, Amirudin juga menang di DUN Sungai Tua dengan majoriti 5,185 itu menjelaskan, saingan yang diberikan oleh parti lawan tidak begitu getir apabila hanya kekurangan empat kerusi untuk memperoleh sokongan dua pertiga.

Malah beliau juga menganggap kemenangan Pengerusi PN Selangor sebagai tidak signifikan apabila memperoleh majoriti kurang daripada 2,000.

“Kita bukanlah anggap sangat ada cabaran yang getir sebab sekarang kita mempunyai 34 ADUN berbanding 22 iaitu mempunyai 12 lebihan ahli dalam dewan dan saya percaya juga kita kena teliti keputusan yang dicatatkan.

“Sebahagiannya disumbang oleh kadar turun mengundi yang begitu memberangsangkan, namun kita bukanlah tewas dengan (majoriti) besar, 1,617 majoriti tidaklah memberi kesan. Jadi kemenangan seribu undi tidaklah signifikan untuk pengerusi yang berjanji ataupun yakin hendak menubuhkan kerajaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya