KOTA KINABALU: Persediaan bagi menerima lawatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi Program Kembara Kenali Borneo telah memasuki 90 peratus siap.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pengiring, Datuk Shahelmey Yahya berkata, Tawau akan menjadi lokasi bermulanya siri jelajah Yang di-Pertuan Agong bagi menelusuri Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak pada 3 hingga 13 September ini.
Menerusi program tersebut, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan berada di Sabah bermula pada 3 hingga 7 September.
Beliau berkata, kembara itu akan melalui jajaran jalan Persekutuan dari Tawau hingga Sindumin, Sipitang yang telah dinaik taraf secara berperingkat menjadi Lebuhraya Pan Borneo.
Shahelmey, yang juga Menteri Kerja Raya Sabah itu berkata, jalan antara kawasan Ranau ke Kinabatangan yang berada dalam keadaan teruk juga telah diselenggara agar lebih selamat dan selesa untuk dilalui dalam kembara tersebut.
“Sejak tahun lepas beberapa kawasan antara Ranau ke Kinabatangan berada dalam keadaan yang teruk hingga dilabel sebagai jalan permukaan bulan oleh warganet.
“Maka, berdasarkan peruntukan daripada Persekutuan, kerja-kerja penyelenggaraan telah dilakukan dan keadaan jalan berlubang telah diperbaiki. Mungkin tidak 100 peratus tapi, ia berada dalam keadaan lebih selamat dan selesa.
“Kita harap hasil lawatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta rombongan dapat melalui jalan yang selesa,” katanya dalam sidang akhbar program Kembara Kenali Borneo.
Beliau juga berharap selepas lawatan Yang di-Pertuan Agong itu, ia akan meningkatkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk menyalurkan peruntukan sewajarnya dalam usaha menyelenggara jalan-jalan Persekutuan di Sabah.
Mengulas lanjut katanya, lapan daerah telah dipilih sebagai lokasi persinggahan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong iaitu Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Ranau, Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang.
“Sepanjang berada di Sabah, beberapa program telah disusun atur di setiap daerah yang akan dilawati dengan mengetengahkan budaya kita melalui masakan tradisi dan juga hasil kraftangan serta produk tempatan yang dihasilkan pengusaha tempatan.
“Kita juga berkongsi dengan Yang di-Petuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta rombongan melalui lawatan ke tempat yang kaya dengan keunikan alam semulajadi dan tamu mingguan yang begitu sinonim dengan masyarakat di negeri ini,” katanya. -UTUSAN