IPOH: Isu berhubung pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi oleh Kementerian Pendidikan timbul disebabkan penggunaan perkataan ‘diperluaskan’ ketika perkara itu diumumkan.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, penggunaan perkataan tersebut telah mengundang tanda tanya adakah pelaksanaan modul akan melibatkan semua murid dan pelajar tanpa mengira latar belakang.
“Apa yang menimbulkan reaksi masyarakat adalah pada awal digunakan perkataan projek perintis. Kemudian diperluaskan. Akan diperluaskan bagaimana?
“Sudah tentulah akan menyebabkan terjemahan atau interpretasi yang berlainan. Saya pernah berkhidmat dengan kementerian. Saya tahu semua perkataan yang digunakan adalah sangat sensitif,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita semasa hadir untuk merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Negeri Perak 2023, di sini hari ini.
Kementerian Pendidikan dalam kenyataan semalam memaklumkan program rintis Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi akan dilaksanakan dengan melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara.
Ekoran hal yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjelaskan, kerajaan tidak pernah memaksa golongan bukan Islam untuk menghafal atau mendalami himpunan Hadis 40 Imam Nawawi.
Sementara itu, Ka Siong berkata, kehadiran beliau ke Perak hari ini adalah antara usaha menguatkan kedudukan MCA.
Menurutnya, lebih-lebih lagi terdapat seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada parti tersebut yang menang dalam pilihan raya umum lalu.
ADUN itu ialah Choong Shin Heng yang menang di DUN Chenderiang dan Presiden MCA mahu wakil tunggal parti tersebut memberi perkhidmatan terbaik demi menaikkan imej MCA untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang. – UTUSAN










