Penunggang motosikal maut digilis treler - Utusan Malaysia

Penunggang motosikal maut digilis treler

KEADAAN motosikal mangsa yang maut akibat digilis treler dalam kejadian di Jalan Lahat berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Ipoh semalam. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang penunggang motosikal maut akibat kecederaan parah selepas digilis sebuah treler dalam kejadian di Jalan Lahat di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 7.10 petang itu, mangsa, G. Jesuklal, 55, menunggang motosikal jenis Honda Wave Alpha disahkan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian berlaku ketika treler tanpa muatan dipandu lelaki berusia 40 tahun dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jelapang.

Katanya, apabila sampai di lokasi kejadian berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, sebuah motosikal yang datang dari arah hadapan tergelincir lalu masuk ke bawah treler.

“Motosikal ditunggang mangsa dipercayai terbabas akibat jalan licin dan basah kerana hujan.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala kerana digilis tayar belakang sebelah kanan kenderaan berat itu,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, lelaki itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

“Tiada tangkapan dilakukan dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN