Peniaga Pasar Paka resah kurang pengunjung

Peniaga Pasar Paka resah kurang pengunjung

KEADAAN Pasar Paka di Dungun, Terengganu yang lengang berikutan kekurangan pengunjung sejak lima tahun lalu. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Kira-kira 20 peniaga di Pasar Paka, dekat sini resah berikutan keadaan pasar tersebut semakin lengang dan suram berikutan kekurangan pengunjung sejak lima tahun lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di pasar dua tingkat itu mendapati, hanya aras bawah pasar berkenaan yang beroperasi setiap hari dari awal pagi hingga 1 petang manakala tingkat satu dan tingkat dua terbiar serta tidak digunakan.

Ada antara peniaga dikatakan terpaksa ‘gulung tikar’ berikutan tidak tahan sering mengalami kerugian ekoran barang yang dijual tidak laku.

Seorang peniaga ikan, Raja Ismail Raja Endut, 67, berkata, perniagaannya merosot sejak lima tahun lalu ekoran pasar tersebut kurang dikunjungi pembeli.

“Sebelum ini kalau berniaga biasanya dapat lebih RM1,000 sehari tetapi sekarang hendak dapat RM500 sehari pun susah. Tidak ramai orang datang membeli.

“Kalau dahulu kami berniaga sampai pukul 5 petang, sekarang pukul 12 tengah hari sudah tidak ramai orang dan kami tutup kedai awal,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, dia berharap pihak berkuasa dapat menggunakan ruang perniagaan di tingkat atas pasar tersebut dengan menganjurkan pelbagai program bagi menarik pengunjung.

“Kalau ada aktiviti jualan murah atau apa-apa program melibatkan masyarakat di tingkat atas pasar, mungkin ramai orang ke sini dan secara tidak langsung dapat membantu kami berniaga, tidak sunyi macam sekarang,” katanya.

Pekerja kontrak, Rahmat Ramli, 50, berkata, ruang perniagaan di tingkat atas yang tidak digunakan menjadi mangsa vandalisme apabila banyak fasiliti disediakan dirosakkan.

“Selain pili bomba dirosakkan dan banyak sampah sarap dibuang, tingkat atas pasar sering menjadi tempat remaja lepak dan kita bimbang kalau pasar ini menjadi tempat individu tidak bertanggungjawab melakukan aktiviti tidak bermoral,” katanya.

Katanya, difahamkan sejak dibuka kira-kira 10 tahun lalu, tingkat satu dan dua pasar yang bernilai RM10 juta itu tidak pernah digunakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×