Pengundi sudah muak cara politik lama – Muda - Utusan Malaysia

Pengundi sudah muak cara politik lama – Muda

DOBBY CHEW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIMA SOALAN?

MUKADIMAH

TOHMAHAN seperti parti nyamuk, parti budak hingusan dan parti hilang deposit serta menerima kritikan gerak kempen ala pilihan raya kampus tidak mematahkan semangat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengetengahkan 19 calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Antara yang diketengahkan adalah Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda, DOBBY CHEW di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia yang menyaksikan pertembungan empat penjuru di kawasan yang mempunyai 80,371 pengundi.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR dan jurufoto, FAUZI BAHARUDIN, lulusan undang-undang itu yang pernah menarik perhatian apabila hanya mempunyai simpanan RM172 dalam akaun banknya menaruh harapan menjadi kuasa politik ketiga selepas Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dan Perikatan Nasional (PN).

UTUSAN: Bolehkah Muda menang PRN?
DOBBY: Meskipun ramai cakap kami parti masih muda di samping setiap hari menerima pelbagai tohmahan termasuk ada cakap kami tidak realistik, akhirnya berbalik kepada tujuan asal mengapa kami sertai pilihan raya? Muda bukan untuk main-main masuk pilihan raya tetapi ingin angkat suara rakyat dan membawa perubahan.
Muda menawarkan saluran alternatif selepas BN, PH dan PN. Sebagai kuasa ketiga, kita menawarkan politik baharu dengan tidak terikat dengan mana-mana parti, sudah tentu rakyat yang muak dengan politik akan memilih Muda sebagai platform baharu. Dengan sam­butan positif sepanjang kempen, Muda yakin dapat mencapai kemenangan pada 12 Ogos ini dengan harapan membawa nafas baharu ke dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ramai cakap kempen Muda seperti pi­lihan raya kampus? Kami tidak ambil peduli dengan tohmahan yang timbul serangan setiap hari daripada pihak lawan termasuklah cakap-cakap kami parti hilang wang deposit dan pelbagai lagi. Tetapi asalkan kita buat benda betul dan tawarkan politik khidmat, saya percaya ramai rakyat akan memahami Muda dengan lebih dekat.
Kita bertanding dan sertai pi­lihan raya untuk bawa suara baharu setelah orang ramai muak dengan politik lama. Jadi membawa nafas baharu dan politik matang sebagai permulaan sebagai mesej Muda hadir ke pentas demokrasi, ini satu permulaan walaupun kita bertanding tidak banyak kerusi dan tidak boleh pun untuk jadi kerajaan.

Kalau DUN tergantung, apa keputusan Muda?
Saya berpandangan Muda mungkin sokong kepada parti yang mempunyai persamaan agenda dan perjuangan kita. Tetapi tidak sampai tahap berada dalam kerajaan, mungkin kita akan meterai perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) bersama kerajaan sebagai sokongan bagi membentuk kerajaan negeri.

Benarkah ramai cakap Muda seperti Parti Move Forward (MFP) di Thailand yang me­nguasai undi orang muda dan berjaya menang besar selepas beberapa siri pilihan raya?
Bukan sahaja MFP, tetapi beberapa lain di Taiwan dan Indonesia dijadikan contoh kepada Muda. Kita sentiasa belajar bagaimana mereka menawarkan politik khidmat, akhir­nya diterima rakyat jika ikhlas berkhidmat, sudah tentu boleh memperoleh kemenangan besar. Mungkin dengan contoh ini, Muda boleh berjaya seperti MFP Thailand satu hari nanti.

Bagaimana Muda berkempen sedangkan ada kekangan kewangan?
Kita buat kutipan dana dan akhirnya berjaya kumpul kira-kira RM800,000. Ini jelas me­nunjukkan kami tidak ditaja tauke-tauke besar, Muda rintis langkah sebegini sejajar dasar politik kepercayaan. Ini satu permulaan dan langkah terbaik, dengan harapan dapat jadi contoh kepada politik lain.

Mengapa pilih Seri Setia?
Kawasan ini boleh jadi gambaran sebenar Malaysia, iaitu 50 peratus kaum Melayu, 20-30 peratus pengundi Cina dan bakinya India. Selain itu, DUN ini unik kerana ada pelbagai lapisan masyarakat, jadi saya terima bertanding di sini apatah lagi saya berasal dari Bandar Sunway.
Saya mengakui berdepan cabaran iaitu dua calon daripada PH dan PN. Namun selepas seming­gu kempen, kita dah hampir jumpa semua pengundi. Boleh dikatakan maklum balas adalah memberangsangkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya