SEGAMAT: Para peneroka Felda mendakwa mereka masih keliru mengenai status tunggakan hutang masing-masing kerana sehingga kini terpaksa membayar komitmen bulanan itu setiap bulan.
Seorang peneroka, Nasarudin Mohd. Jadan mendakwa, bayaran bulanan yang diterimanya ditolak terlalu banyak sehingga memberi tekanan terhadap perbelanjaan untuk menyara keluarga.
Nasarudin, 77, berkata, potongan itu terlalu banyak dan membebankan peneroka.
“Setiap bulan bayaran gaji mampu mencecah RM4,000 tetapi kini hanya dapat RM1,400. Potongan ini terlalu banyak. Potongan sebanyak RM2,600 secara kiraan kasar ini sangat membebankan kami peneroka dengan kos sara hidup juga tinggi ketika ini.
“Di dalam slip gaji ada dinyatakan pemotongan bayaran itu adalah bagi baja kawal penyakit, merumput racun, lain-lain penjagaan, pengurusan buruh, penuaian dan ada pemotongan yang saya sendiri tidak pasti untuk apa.
“Ada tunggakan hutang pada tahun 2021, tapi kami diberitahu oleh pihak Felda dahulu tiada tunggakan lagi tetapi tiba-tiba ada tunggakan semula,” katanya kepada Utusan Malaysia di Felda Tenang, di sini.
Nasarudin, peneroka generasi pertama sejak tahun 1980-an mengusahakan kelapa sawit di kawasan seluas empat hektar yang mampu memberi pulangan sebanyak 5.75 tan adalah antara 13 peneroka yang ditolak bayaran di kawasan bloknya di Felda Tenang.
Katanya, hasil sawit juga merosot kerana kurang hujan dan cuaca panas yang berterusan.
“Sudah enam bulan kami terpaksa menanggung pemotongan lebih 50 peratus yang kami sendiri tidak jelas pemotongan apa yang banyak sangat,” jelas bapa kepada tiga orang anak dan 10 cucu itu sambil menuntut Felda memberikan penjelasan tentang isu berkenaan.
Dia mendakwa tidak pernah menerima penyata hutang yang mengandungi berapa baki hutang atau berapa jumlah yang telah dipotong.
“Kami mahu pihak Felda hantar penyata kepada setiap rancangan masing-masing dan edar kepada peneroka. Apabila edar kepada peneroka, kami akan faham hutang telah dipotong atau tidak dan kami ingin tahu tentang jumlah hutang sebenar dan kenapa dahulu kata sudah tiada hutang dan sekarang ada hutang semula,” soalnya.
Seorang lagi peneroka yang hanya mahu dikenali sebagai Samad, 65, turut mengaku mengalami nasib yang sama dan lebih membebankan apabila terpaksa membayar hutang kos membaik pulih rumah.
“Saya ada membuat pinjaman wang untuk membaik pulih rumah dengan setiap bulan akan ditolak RM200. Jika gaji kami dipotong sewenang-wenangnya, macam mana kami mahu bayar semula hutang pinjaman tersebut?
“Setiap bulan bil-bil seperti elektrik, air, telefon, pinjaman kenderaan dan motosikal harus dilangsaikan. Dengan kos sara hidup yang tinggi kini, rakyat seperti kita yang menanggung kesannya setiap hari,” katanya. – UTUSAN










