KUANTAN: Kira-kira 200 penduduk Felda Panching Utara di sini mendakwa berdepan gangguan bekalan air yang seolah-olah tiada penyelesaian sejak setahun lalu.
Penduduk mendakwa, jika ada air pun, ia selepas lewat tengah malam sehingga pukul 3 pagi menyebabkan banyak aktiviti harian seperti membasuh baju pada waktu siang terbatas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk kampung, Kamariah Mohamad, 67, berkata, bekalan air sentiasa terputus menyebabkan sukar untuk membuat urusan harian.
“Saya kurang sihat, ada masalah sakit saraf dan pergerakan terbatas. Sekarang ini hanya mengharapkan kepada suami, Ampandi Samsuddin, 71, dan anak-anak untuk sediakan bekalan air untuk kegunaan harian.
“Adakalanya bekalan air terputus terus, kadang-kadang ada sekejap sebelah petang atau tengah malam jadi pada masa itulah kita mula menadah atau buat takungan.
“Jika hendak membasuh sama ada baju atau sebagainya terpaksa tunggu pukul 1 hingga 2 pagi,” katanya ketika ditemui di Felda Panching Utara di sini semalam.
Kamariah berkata, masalah bekalan air itu juga mengakibatkan sukar untuk dia dan ahli keluarga berkumpul terutama ketika musim cuti sekolah atau hari raya.
“Baru-baru ini, masa hari raya kami terpaksa tutup pintu (rumah), sebab tak ada air nak basuh pinggan gelas jika tetamu datang beraya.
“Rasanya tak larat dah, jauh juga untuk pergi mengangkut air yang mana terpaksa membawa botol untuk mendapatkannya di surau Kampung Atong terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah saya,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Hayati Baharum, 52, mengakui masalah itu menjejaskan perniagaannya yang sebelum ini mengusahakan tanaman hiasan sehingga terpaksa menghentikan sementara operasi.
“Kita nak jual pokok bunga, anak pokok buah, kenalah pastikan semuanya segar baru ada orang nak beli. Kalau air pun tak ada, macam mana nak siram pokok itu semua, cuaca pula panas jadi saya fikir baik saya berhenti dulu (berniaga).
“Saya nak sangat ada air dan harap pihak berwajib boleh selesaikan masalah ini,” katanya.
Bilal surau As-Sajiddin, Norazian Md. Ali, 52, pula berkata, sebelum ini surau itu menerima ramai jemaah setiap kali masuk waktu solat, namun sejak masalah gangguan air berlaku, surau tidak lagi boleh mengadakan solat berjemaah seperti sebelumnya. – UTUSAN