JOHOR BAHRU: Gamelan adalah seni muzik tradisional yang dikaitkan dengan masyarakat Melayu di negara ini, namun uniknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Gelang Patah, Iskandar Puteri, di sini, seorang daripada tenaga pengajarnya berketurunan India.
B. Nicholas, 23, berkata, dia mengajar seni muzik tradisional itu setiap malam Khamis dan Jumaat manakala pada hari biasa sebagai pengawal keselamatan.
Katanya, dia mula tertarik dengan seni muzik tradisional itu selepas mempelajari seni mempertahankan diri masyarakat Melayu, iaitu silat semasa sekolah menengah.
“Saya mula meminati budaya masyarakat Melayu di negara ini apabila tertarik dengan filem dan lagu-lagu seniman legenda, Tan Sri P. Ramlee. Bukan saya sahaja tetapi seluruh ahli keluarga meminatinya.
“Dalam filem dan lagu-lagunya, beliau banyak meletakkan pengaruh muzik gamelan serta gerakan silat, bermula daripada itu saya mula berminat untuk mempelajarinya,” katanya semalam.
Nicholas berkata, dia adalah seorang graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), namun ketika ini bertugas sebagai seorang pengawal keselamatan untuk membantu menjaga kedua-dua orang tuanya.
“Muzik gamelan biasanya dimainkan ketika persembahan silat, yang mana kebiasaannya rentak muzik itu diselarikan dengan pergerakan silat yang sedang dipertontonkan.
“Buat masa ini, saya sedang mengajar seni ini kepada 15 murid dari SK Gelang Patah yang dibahagikan kepada dua kumpulan kecil. Kumpulan pertama melibatkan murid-murid beginner yang baharu mempelajari asas, manakala kumpulan kedua melibatkan kumpulan murid yang lebih ke depan,” ujarnya.
Tambah Nicholas, sebahagian daripada murid-muridnya juga pernah mewakili Johor ke pertandingan gamelan peringkat kebangsaan selain memenangi beberapa anugerah.
“Walaupun bukan orang Melayu, saya tidak mahu melihat seni muzik tradisional ini pupus dan semakin dipinggirkan. Sya berharap lebih ramai dalam kalangan generasi muda terus mempelajarinya,” katanya. – UTUSAN











