Pemandu teksi ditemukan mati berlumuran darah dalam kereta - Utusan Malaysia

Pemandu teksi ditemukan mati berlumuran darah dalam kereta

ANGGOTA polis memeriksa mayat seorang pemandu teksi yang ditemukan mati di dalam keretanya berdekatan sebuah klinik kesihatan di Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus, malam tadi. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seorang pemandu teksi ditemukan mati dalam keadaan berlumuran darah di dalam keretanya berdekatan sebuah klinik kesihatan di Kampung Seberang Takir, dekat sini, malam tadi.

Lelaki yang berusia 51 tahun itu ditemukan di tempat duduk belakang kereta tersebut dengan beberapa kesan luka di bahagian leher.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai sebuah teksi yang mencurigakan di tempat kejadian pada pukul 10.56 malam sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Pihak polis yang tiba di lokasi mendapati dua lelaki berada dalam kereta sewa itu dengan seorang cedera parah dan tidak bergerak di tempat duduk belakang dan seorang lagi berada di tempat duduk pemandu.

“Siasatan awal menunjukkan mangsa ialah pemandu teksi terbabit, selain turut menemui dan merampas sebilah pisau  di tempat alas kaki bahagian pemandu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut beliau, pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi dipercayai suspek itu cedera di jari.

Tambahnya, kedua-dua lelaki itu dipercayai bergelut sebelum pemandu teksi yang cedera parah itu meninggal dunia.  

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)  dekat sini untuk tindakan lanjut manakala suspek berusia 29 tahun itu ditahan.

Beliau memberitahu, motif atau punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

“Suspek yang ditahan akan dibawa ke mahkamah pagi ini bagi mendapatkan permohonan reman untuk membantu siasatan berhubung kes ini,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya