Peguam Negara: Siapa pengganti Idrus Harun?

Peguam Negara: Siapa pengganti Idrus Harun?

IDRUS HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berbaki kurang satu bulan lagi sebelum Tan Sri Idrus Harun menamatkan kontraknya bulan depan selepas dilantik semula sebagai Peguam Negara pada 3 Mac lalu, sehingga kini masih belum ada individu bakal menggantikannya.

Timbul persoalan apakah pelantikan Peguam Negara yang baharu selepas ini dilantik dalam kalangan pegawai kanan Jabatan Peguam Negara (AGC), hakim yang sedang berkhidmat atau bekas Hakim Mahkamah Persekutuan?

Bagaimanapun, persoalan itu masih tidak terjawab kerana Pejabat Perdana Menteri difahamkan belum mencadang dan mempersembah nama kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik ke jawatan itu.

Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, melantik seseorang yang layak bagi menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan untuk menjadi Peguam Negara.

Idrus sebelum ini adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan memegang jawatan Peguam Negara sejak 6 Mac 2020, menggantikan kekosongan jawatan yang ditinggalkan Tan Sri Tommy Thomas kerana meletak jawatan pada 28 Februari 2020.

Perkhidmatan Idrus kemudian disambung setahun lagi yang sepatutnya berakhir pada 6 Mac 2022.

Sebelum ini, dilaporkan beberapa hakim yang sedang berkhidmat dikhabarkan dipertimbang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu menggantikan Idrus apabila tempoh perkhidmatannya berakhir.

Antara nama dilaporkan dipertimbangkan ialah dua Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md. Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil serta hakim-hakim yang masih berkhidmat.

Pengamal undang-undang sebelum ini berpandangan, pegawai kanan di Jabatan Peguam Negara (AGC) atau peguam berkelayakan perlu diutamakan menduduki kerusi Peguam Negara, berbanding mengambil hakim khususnya yang masih berkhidmat bagi mengelakkan kepentingan konflik demi menjamin kebebasan badan kehakiman.

Di sudut lain, isu pelantikan Peguam Negara dilihat amat mustahak kerana ia akan menentukan nasib dan hala tuju reformasi undang-undang, berhubung pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, yang menjadi antara tuntutan Majlis Peguam sejak sekian lama.

Sejak Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), beliau menyatakan komitmen mewujudkan pengasingan kuasa antara kedua-duanya.

Difahamkan, Azalina dan Idrus sedang menyediakan kertas pelan pengubahsuaian mengenai pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Namun, dengan berakhirnya kontrak Idrus bulan depan, apakah semua rancangan ke arah reformasi undang-undang ini akan terhenti di tengah jalan?

Apakah dengan pelantikan Peguam Negara yang baharu selepas ini menjadikan segala rancangan pengasingan kuasa perlu bermula semula daripada kosong? – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×