PETALING JAYA: Pas mendakwa PKR cuba mengambil pendekatan sama seperti Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang memperkenalkan konsep sekularisme Islam.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kepemimpinan di Turkiye menghadapi masalah dengan perlembagaan negara tersebut iaitu warisan daripada Mustafa Kemal Ataturk yang mewajibkan sekularisme dan mengharamkan agama khususnya Islam dari aspek bernegara serta berpolitik.
Dakwa beliau, Erdogan dipaksa mengadakan perjanjian yang memaksanya untuk meneruskan konsep sekularisme dalam Perlembagaan Turkiye namun, menegaskan bahawa kerajaan akan melaksanakan konsep demokrasi liberal kepada semua termasuk amalan Islam terpilih.
“Keadaan ini berbeza dengan negara kita, Malaysia. Apabila para pejuang kemerdekaan berjaya meletakkan Islam sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini sekali gus memberi ruang kepada kita untuk mentafsirkan Islam dengan jiwa bangsa yang merdeka.
“Bagaimanapun, kita menghadapi keadaan apabila terdapat beberapa jadual dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipinda dan adanya kaum bukan Islam yang dibawa oleh penjajah. Mereka dibawa ke Tanah Melayu untuk sama-sama menjadi sebahagian daripada penduduk di Tanah Melayu sehingga mengasak kedudukan penduduk asal Melayu yang beragama Islam.
“Namun begitu, Perlembagaan Persekutuan memberi hak kebebasan beragama kepada golongan bukan Islam sebagaimana yang diamalkan dalam sebuah negara Islam. Kebebasan ini diterima oleh golongan bukan Islam yang tidak ekstrem daripada kalangan MCA dan MIC pada awal kemerdekaan. Malangnya, hak kebebasan ini diganggu-gugat dengan kedatangan DAP yang ekstrem.
“Maka, peranan kita hendaklah ditambah supaya mengekalkan kepemimpinan Melayu Islam dan membawa konsep yang adil kepada semua kaum. Pada masa yang sama, kita hendaklah menghadapi agenda DAP yang membawa konsep ‘Malaysian Malaysia’ bersama prinsip sekularisme pegangan mereka yang meminggirkan kuasa Islam dan ketuanan Melayu Islam,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu berkata, keadaan negara dengan Turkiye berbeza kerana negara tersebut tidak mempunyai peluang melaksanakan hukum syariat bagi mencegah segala maksiat disebabkan demokrasi diamalkan adalah dalam satu bentuk liberalisme.
“Alhamdulillah, peluang kita melaksanakan Islam lebih bebas daripada Turkiye yang terbelenggu dengan perlembagaannya. Selain itu, Turkiye juga harus menyelesaikan beberapa isu seperti hubungannya dengan negara haram Israel yang sudah dimeterai dan ikatan sebagai anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan lain-lain,” katanya.-UTUSAN










