Parut imbau peristiwa terpijak jerangkap samar - Utusan Malaysia

Parut imbau peristiwa terpijak jerangkap samar

HASSANUDDIN Abd. Karim menunjukkan sijil penerima sumbangan wira negara sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kecacatan kekal akibat terpijak jerangkap samar dalam operasi memburu komunis di Klian Intan, Gerik, 45 tahun lalu, tidak pernah dilupakan oleh seorang pesara tentera.

Sarjan (B) Hassanuddin Abd. Karim, 75, berkata, insiden yang menyebabkan dia hilang kaki kiri sehingga paras buku lali itu berlaku ketika menyertai operasi Echo Foxtrox pada 11 Julai 1978.

“Walaupun telah 32 tahun bersara daripada komando, kejadian terpijak jerangkap samar itu antara peristiwa yang amat sukar dilupakan.

“Malah, sehingga kini, saya masih terbayang-bayang lagi kejadian itu terutama apabila melihat parut di kaki. Bagaimanapun, saya bangga kerana kecacatan kekal ini bukti bakti kepada negara,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri di pekarangan Stadium Perak di sini hari ini.

Hassanuddin yang merupakan bekas anggota Rejimen Gerak Khas Malaysia (RGKM) itu merupakan seorang daripada sembilan penerima sumbangan wira negara yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurut bapa kepada enam anak itu, selain peristiwa pahit terkena jerangkap samar, dia juga sukar melupakan situasi ketika menyertai Op Gonzales pada 1974.

Katanya, ketika operasi tersebut, dia berhadapan saat-saat cemas apabila dilemparkan tiga butir grenade (bom tangan) oleh musuh.

“Kejadian itu sangat mendebarkan namun saya bersyukur terselamat kerana bom berkenaan tidak meletup,” katanya.

Sementara itu, mengulas sumbangan wira negara yang diterimanya, Hassanuddin berkata, dia bersyukur dan terharu apabila pengorbanannya sebagai anggota tentera mendapat perhatian pihak berwajib.

Malah katanya, dia tidak pernah terfikir akan menerima sijil penghargaan yang disampaikan sendiri oleh Sultan Nazrin.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menghargai jasa dan sumbangan kami kepada negara. Saya benar-benar bersyukur dan gembira,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya