Parti Sabah, Sarawak kekal sokong Anwar walau enam negeri tumbang - Utusan Malaysia

Parti Sabah, Sarawak kekal sokong Anwar walau enam negeri tumbang

Sabah Sarawak
EWON Benedick bersama tetamu pada program itu di Tanjong Karang, Kuala Selangor, Selangor, semalam.- UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Parti Sabah dan Sarawak yang bersama Kerajaan Perpaduan kekal menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri untuk kekal mentadbir negara selepas enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick berkata, dakwaan wujud cubaan bersama pihak tertentu untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan tidak benar sama sekali biarpun enam negeri tumbang pada PRN.

Jelas Ahli Parlimen Penampang itu, parti daripada Sabah dan Sarawak bersetuju mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga penggal lima tahun berakhir.

“Perkara itu dipertujui dalam siri mesyuarat sekretariat Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dihadiri semua Presiden parti-parti yang membentuk kerajaan Persekutuan.

“Justeru, mustahil Perikatan Nasional (PN) boleh menumbangkan Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan tanpa Sabah dan Sarawak,” katanya ketika ditemui pada majlis Ramah Mesra Usahawan dan Kontraktor di Tanjong Karang di sini, petang tadi.

PN sebelum ini dilaporkan membawa naratif bahawa akan ada pertukaran kerajaan jika PH-BN berjaya ditewaskan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos ini.

Malah, beberapa pemimpin pembangkang seperti Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu penyokong bahawa kerajaan pimpinan Anwar akan jatuh selepas PRN nanti.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, UPKO kekal dengan pendirian berkenaan dan tidak sesekali terlibat dengan propaganda tersebut.

“Kerajaan Perpaduan tidak boleh tumbang selagi PN tidak mempunyai sokongan daripada parti dari Sabah dan Sarawak.

“Kami tidak akan sesekali menyokong pihak atau gabungan parti yang cuba mengeluarkan propaganda mengaitkan isu agama dan kaum,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan sedia ada sudah cukup stabil dan masyarakat Sabah serta Sarawak menjunjung tinggi perkara yang termaktub dalam Perlembagaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya