Panel 9 hakim dengar petisyen peguam cabar enakmen syariah

Panel 9 hakim dengar petisyen peguam cabar enakmen syariah Kelantan

NIK Elin Zurina Nik Abdul Rashid hadir di Mahkamah Persekutuan Putrajaya bagi pendengaran petisyen untuk mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan. UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan hari ini mendengar petisyen seorang peguam dan anaknya yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengetuai panel bersidang mendengar petisyen yang difailkan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan.

Pada prosiding itu, mahkamah sebulat suara menolak permohonan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan untuk bertindak sebagai pencelah dalam pendengaran petisyen berkenaan atas alasan permohonan itu tidak berasas.

Ketika menolak permohonan itu, Hakim Tengku Maimun menarik perhatian semua pihak dan menegaskan, petisyen berkenaan hanya berkaitan pentafsiran perkataan-perkataan dalam Perlembagaan Persekutuan dan tiada kena mengena dengan doktrin Islam.

“Oleh yang demikian tidak timbul persoalan sama ada pihak pempetisyen mahupun mahkamah ini ingin menidakkan atau merendahkan kedudukan agama Islam di negara ini,” ujar Ketua Hakim Negara.

Panel itu turut dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Turut menganggotai panel, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P. Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Dalam prosiding itu, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kedua-dua pempetisyen berhujah, 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bertindan dengan undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Beliau menghujahkan, peruntukan tersebut tidak sah atas alasan Badan Perundangan Negeri Kelantan tiada kuasa untuk menggubal peruntukan undang-undang tersebut.

Hujah Malik Imtiaz, 20 peruntukan undang-undang jenayah yang dipertikaikan itu merupakan bidang kuasa Parlimen.

Antaranya termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).

Sementara itu, salah seorang peguam yang mewakili Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif berhujah, peruntukan undang-undang itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta sah untuk dikuatkuasakan.

Hujah beliau, peruntukan yang dicabar itu merupakan undang-undang mengenai kesalahan yang dilakukan terhadap perintah agama Islam yang termasuk di bawah Butiran 1, Senarai Negeri, bukan undang-undang jenayah yang tertakluk kepada Butiran 4(h), Senarai Persekutuan.

Beliau turut memohon mahkamah mengkaji semula penghakiman kes Iki Putra Mubarrak berhubung isu serupa.

Pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan Iki Putra mencabar keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 berhubung kesalahan seks luar tabii.

Beliau berhujah, terdapat beberapa bahagian dalam penghakiman Iki Putra yang disifatkan tidak boleh dikekalkan.

Kamaruzaman memohon mahkamah meneliti penghakiman Iki Putra yang menyatakan enakmen kesalahan syariah yang termasuk dalam senarai Persekutuan, secara automatik adalah terbatal.

“Betapa pentingnya undang-undang ini dipertahankan kerana meskipun wujud pertindihan, tapi ia masih berperlembagaan,” ujar Kamaruzaman.

Pada peringkat itu, Hakim Tengku Maimun mencelah dan mempertikaikan adakah undang-undang Persekutuan tidak mempertahankan Islam.

“Sebagai contoh, peruntukan dalam Kanun Keseksaan, adakah ia tidak mencukupi untuk mempertahankan Islam?” ujar Ketua Hakim Negara.

Sementara itu, peguam Yusfarizal Yusoff yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) selaku pemerhati berhujah, pempetisyen tiada hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk mengemukakan petisyen berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan prosiding disambung pada satu tarikh lain bagi mendengar penghujahan pihak-pihak yang dinamakan sebagai sahabat mahkamah (Amicus Curiae).

Ia terdiri daripada Sisters In Islam (SIS), Majlis
Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya