Operasi pencarian 95 peratus selesai

Operasi pencarian nahas pesawat terhempas 95 peratus selesai

ANGGOTA bomba mengutip serpihan jet eksekutif yang terhempas di Elmina, Shah Alam untuk dikumpul semula bagi tujuan siasatan semalam. – UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Operasi pencarian di tapak nahas sebuah pesawat ringan dekat Persiaran Elmina, Seksyen U16 di sini hampir selesai apabila pihak berkuasa kini giat melakukan kerja-kerja peringkat akhir sebelum pembersihan dilakukan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, kerja-kerja tersebut kini sudah berada pada tahap 95 peratus dan selebihnya adalah melibatkan kerja pengalihan serpihan pesawat termasuk kawasan yang belum dilakukan pencarian.

“Kawasan pencarian merangkumi 11,000 meter persegi dari lokasi terhempasnya pesawat tersebut hingga kawasan terakhir serpihan ditemui.

“Mungkin ada cebisan mayat sikit-sikit yang kita akan ambil, tinggal hendak mengalihkan serpihan pesawat,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Beliau menambah, operasi tersebut turut dilakukan bersama Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) yang membuat siasatan terhadap serpihan dan perakam suara kokpit yang ditemukan pada bangkai pesawat.

“Dalam pukul 10 malam tadi, pesawat ini daripada siasatan BSKU, mempunyai cockpit voice recorder sahaja, dia tak ada flight data recorder,” jelasnya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mula melakukan kerja-kerja pembersihan jalan di sekitar lokasi nahas.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tiga jentera bomba dikerahkan bagi melakukan kerja-kerja pembersihan bermula pada 12.45 tengah hari melibatkan kira-kira 20 anggota bomba.

Setakat pukul 1 petang itu, lokasi jet eksekutif Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas petang kelmarin masih ditutup bagi memberi laluan kerja-kerja siasatan dan pencarian baki cebisan mayat mangsa serta pembersihan serpihan pesawat yang bertaburan.

Kerja-kerja pencarian baki cebisan mayat mangsa yang dipercayai masih berada di lokasi dan pembersihan serpihan bangkai pesawat giat dilakukan oleh pihak keselamatan dengan bantuan pelbagai agensi.

Antara agensi yang terlibat di lokasi kejadian adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pelbagai agensi lain berkaitan nahas udara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN