'Oceanman @ Redang' popularkan lagi Pulau Redang

‘Oceanman @ Redang’ popularkan lagi Pulau Redang

SEBAHAGIAN daripada peserta yang menyahut cabaran pada kejohanan renang di perairan laut terbuka Oceanman @ Redang 2023 di Pulau Redang, Kuala Nerus, Terengganu, kelmarin. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kejohanan renang di perairan laut terbuka, ‘Oceanman @ Redang 2023’ akan disenarai dalam kalendar pelancongan tahunan Terengganu untuk mempopularkan lagi Pulau Redang, dekat sini, sebagai destinasi pelancongan berasaskan sukan bertaraf antarabangsa.

Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Fadli Yusof Zakaria berkata, program tersebut yang julung kali diadakan di Pulau Redang kelmarin, menarik seramai 566 peserta dari 31 buah negara.

“Ini adalah satu lagi peluang untuk memartabatkan industri pelancongan di Terengganu dengan memanfaatkan keindahan Pulau Redang yang terkenal dengan kejernihan airnya dan keindahan alam semulajadi yang belum tercemar.

“Penganjuran Oceanman @ Redang 2023 memberi impak positif kepada semua pengusaha resort di Pulau Redang dan penduduk sekitar yang turut mendapat limpahan manfaatnya termasuk pemandu bot dan pemandu pelancong.

“Kita akan berbincang dengan pihak penganjur untuk meneruskan program ini sebagai aktiviti pelancongan tahunan di Terengganu dan berusaha menarik lebih ramai peserta pada tahun depan,” katanya selepas acara pelepasan peserta di pulau itu, semalam.

Peserta kejohanan melibatkan dari Malaysia, Australia, Singapura, Indonesia, Vietnam, Taiwan, Perancis, Itali, Jepun, Rusia, Mexico, Jerman dan Mesir.

Oceanman adalah kejohanan renang bertaraf antarabangsa yang menguji kekuatan peserta untuk menjadi juara di perairan laut terbuka dan dianjurkan di banyak lokasi di seluruh dunia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Oceanman Malaysia, Sundi Kumar berkata, pihaknya memilih Pulau Redang setelah melakukan penilaian daripada pelbagai aspek berbanding lokasi lain.

“Pilihan resort yang banyak untuk penginapan serta kemudahan lain seperti pengangkutan dipertimbang bagi memudahkan peserta dari seluruh dunia ke sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×