Najib nasihat ahli UMNO setia kepada parti, bantu jentera BN - Utusan Malaysia

Najib nasihat ahli UMNO setia kepada parti, bantu jentera BN

MOHD. Nizar Najib (kiri) dan Ahmad Razif Abdul Rahman (kanan) bersama salah seorang veteran UMNO di Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus, petang ini. - UTUSAN/DANISH YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menasihatkan ahli UMNO supaya setia kepada parti dan membantu jentera Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Pesanan itu dititipkan kepada anaknya, Datuk Mohd. Nizar Najib untuk disampaikan kepada ahli-ahli UMNO di enam negeri yang menghadapi pilihan raya itu nanti.

Menurut Mohd. Nizar, pesanan tersebut disampai kepada beliau ketika bertemu ayahnya di Penjara Kajang, Selangor pada 23 Julai lalu.

“Ayahanda (Najib) seorang yang setia pada parti, malah tidak pernah menyuruh mana-mana pihak atau ahli keluarga untuk mengundi Perikatan Nasional (PN) dalam PRN kali ini.

“Ketika menemuinya pada 23 Julai lalu, beliau (Najib) sebaliknya mengalu-alukan hasrat saya untuk turun berkempen membantu jentera BN di enam buah negeri.

“Beliau berpesan, bantulah dan setia pada parti,” katanya selepas berkempen bersama calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di Seberang Takir, di sini, petang tadi.

Mohd. Nizar dan Ahmad Razif bersama jentera parti sempat meluangkan masa hampir dua jam menyantuni veteran UMNO di beberapa buah rumah di DUN berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd. Nizar yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan memberitahu, sokongan pengundi muda termasuk mereka yang kali pertama dilihat semakin baik ke arah BN dan berharap ianya dapat diterjemah melalui keputusan PRN nanti.

Tambahnya, Mohd. Nizar menyifatkan setia kawan yang ada pada Ahmad Razif perlu dijadikan contoh sebagai wakil rakyat terbaik di kawasan itu.

“Beliau (Ahmad Razif) juga memiliki ketokohan dan pengalaman sebagai bekas Menteri Besar, malah saya banyak belajar daripada beliau selok belok dalam politik.

“Ciri-ciri seperti ini yang perlu diangkat sebagai pemimpin dan saya percaya pengundi Seberang Takir akan memberi peluang kepada beliau untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya